Berita Utama

Mohon benarkan pencarum KWSP keluarkan 10 peratus daripada simpanan

Jika caruman lebih RM100,000, memadailah keluar RM10,000 saja

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 26 Rabiulawal 1442H, Khamis – Tidak salah jika kerajaan mempertimbangkan semula kebenaran pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Akaun 1 secara ‘one-off’ dengan syarat serta ketetapan tertentu.

Permintaan untuk membenarkan pengeluaran Akaun 1 KWSP sebelum ini timbul selepas terdapat cadangan untuk berbuat demikian bagi membantu rakyat yang terdesak.

Dalam pembentangan Belanjawan 2021 minggu lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan kemudahan pengeluaran simpanan dana persaraan itu daripada Akaun 1, secara bersasar sebanyak RM500 sebulan sehingga RM6,000 bagi tempoh 12 bulan.

Bagaimanapun, pengumuman itu ternyata tidak memuaskan hati segelintir rakyat yang menuntut supaya pengeluaran secara ‘one-off’ dibenarkan, atas alasan ia adalah wang simpanan persendirian.

Sehubungan itu, penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Abu Sofian Yaacob mencadangkan supaya kemudahan pengeluaran simpanan KWSP secara ‘one-off’ dibenarkan dengan mengutamakan golongan sasar sahaja.

“Walaupun inisiatif kerajaan untuk membenarkan RM500 selama 12 bulan sudah memadai, tetapi ia tidak seperti yang rakyat ketika ini mahukan.

“Maka, sebaiknya kerajaan benarkan sahaja pengeluaran secara ‘one-off’ sama ada maksimum RM10,000 atau 10 peratus dari simpanan, iaitu yang mana paling rendah,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata, kebenaran itu juga tidak diberikan secara pukul rata semua pencarum, sebaliknya hanya golongan sasar dan terjejas sepanjang pandemik ini.

“Sebab itu ia perlu bersyarat. Jika pencarum hanya mempunyai RM40,000 di akaun 1 dan mahu keluarkan RM10,000 apa sahaja yang tinggal untuk persaraan kelak.

“Sebab itu saya cadangkan hanya 10 peratus dibenarkan daripada simpanan. Tetapi bagi mereka yang carumannya lebih RM100,000, memadailah dibenarkan keluar RM10,000 sahaja,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button