Uncategorized

Mohon perhalusi semula SOP aktiviti keagamaan Islam

'Mendukacitakan aktiviti hiburan berlangsung tanpa kira sensitiviti'

BANGI, 26 Rabiulawal 1442H, Khamis – Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) perlu memperhalusi kembali prosedur operasi standard (SOP) aktiviti keagamaan Islam.

Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ir Muhammad Lukman Abdul Hakim Muhammad berkata, perkara itu penting supaya seluruh umat Islam di Malaysia tanpa mengira faktor umur dan latar belakang dapat menunaikan kembali solat lima waktu di masjid serta surau menerusi disiplin SOP yang ditentukan.

“Sepatutnya, dalam keadaan kritikal dan ketidakstabilan ekonomi yang melanda ini, pihak berkuasa negara perlu menggalakkan setiap umat Islam untuk kembali kepada agama, mendisiplinkan diri terhadap ibadah asas, memperbanyakkan doa, zikir serta sedekah.

“Ianya demi memohon rahmat serta keampunan dari Allah SWT,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian apabila terdapat banyak keluhan dalam kalangan masyarakat beragama Islam yang mengharapkan supaya SOP aktiviti keagamaan diperhalusi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Mengulas lanjut, Muhammad Lukman berkata, ketika aktiviti asas kehidupan lain seperti sektor perniagaan, perubatan, perikanan dan pertanian dibenarkan mengikut SOP tertentu, namun agak canggung ibadat wajib solat lima waktu tidak dibenarkan, meskipun dengan pematuhan SOP yang ketat.

“Lebih mendukacitakan apabila terdapat beberapa aktiviti sosial yang berteraskan hiburan melampau (hedonisme) yang berlangsung tanpa mengambil kira sensitiviti umat Islam dan keadaan negara yang sedang dilanda gelombang ketiga pandemik COVID-19,” katanya kesal.

Terdahulu, solat Jumaat, solat lima waktu berjemaah dan lain-lain aktiviti pengimarahan di seluruh masjid serta surau di Selangor, ditangguhkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), mulai 14 Oktober hingga 27 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad berkata, keputusan itu dibuat susulan pengumuman oleh MKN.

Katanya, penangguhan ini akan membabitkan 425 masjid, 278 surau solat Jumaat dan 1,747 surau.

“Tindakan penangguhan ini dibuat selaras dengan penguatkuasaan PKPB di Selangor bagi mengekang penularan kes COVID-19 yang membimbangkan dari terus menular dalam kalangan masyarakat di Selangor,” katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, jumlah jemaah solat Jumaat diperluaskan dan dibenarkan sehingga satu pertiga kapasiti dewan masjid atau surau Jumaat bagi zon kuning dan hijau di Wilayah Persekutuan bermula 6 November.

Bagi solat fardhu lima waktu di zon berkenaan, katanya, kapasiti dibenarkan adalah tidak melebihi 30 orang jemaah dan tertakluk kepada keluasan dewan dengan penjarakan satu meter antara jemaah.

“Bagi Labuan yang kini dalam zon merah, jumlah jemaah solat Jumaat dihadkan pada dua belas orang dan solat lima waktu dihadkan pada tiga orang.

“Pada masa yang sama, aturan ini akan turut dilaksanakan di Kuala Lumpur dan Putrajaya sekiranya wujudnya zon merah di kawasan berkenaan,” jelasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button