Pendapat

Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat: Peraturan berbahas

Nama Agong, Raja Melayu tak boleh diguna untuk pengaruh Majlis Mesyuarat

SAYA mahu berkongsi mengenai Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat atau Standing Orders of the Dewan Rakyat (saya ringkaskan sebagai Peraturan Dewan Rakyat).

Selamat membaca.

Peraturan Dewan Rakyat adalah Peraturan yang dibuat di bawah Perkara 62(1) Perlembagaan Persekutuan. Parlimen sediri yang meluluskan Peraturan ini dan ia bukan berbentuk sebuah Akta yang perlu melalui proses gubalan Akta seperti proses Bacaan dan kelulusan tiga kali pada setiap Dewan, tetapi merupakan aturan yang dibuat dan dipersetujui oleh Ahli Dewan.

Perkara 62 bertajuk Tatacara Parlimen dan Fasal (1) menyatakan:

(1) Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini dan peruntukan undang-undang persekutuan, setiap Majlis Parlimen hendaklah mengawal selia tatacaranya sendiri.

Oleh itu, bagi mengurus perbahasan dalam Dewan Rakyat, semua tatacara yang dinyatakan dalam Peraturan Dewan Rakyat hendaklah dipatuhi. Pertuan Dewan Rakyat ini mempunyai 115 Peraturan yang merangkum pelbagai perkara dalam tatacara Dewan.

Peraturan 1 hingga 34 meyediakan Peraturan berkaitan Urusan Mesyuarat; Peraturan 35 hingga 75 memperuntukkan tentang Peraturan-Peraturan Berbahas; dan Peraturan 76 hingga 100 pula menyatakan Peraturan berkenaan Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan.

Pada paparan kali ini saya tidak berhasrat mengulas kesemua Peraturan, tetapi hanya mahu berkongsi satu Peraturan berkaitan Peraturan-Peraturan Berbahas yang menjadi “point of order” pada perbahasan Parlimen semalam, iaitu Peraturan 36. Peraturan ini agak panjang. Ia mempunyai 12 sub-peraturan. Saya paparkan di sini untuk para pembaca menelaahnya.

Peraturan 36 yang bertajuk “Isi-isi ucapan” menyediakan seperti berikut:

(1)  Seseorang Ahli Dewan apabila membahaskan Rang Undang-undang yang meminda akta induk, hanya perkara-perkara yang berkaitan Rang Undang-undang itu sahaja yang dibenarkan bercakap dan tidak kepada perkara yang melibatkan akta induk.

(2) Tidak boleh disebutkan apa-apa perkara yang sedang dalam timbangan mahkamah sekira-kira pada timbangan Pengerusi harus merosakkan kepentingan-kepentingan pihak yang berbicara itu.

(3) Adalah salah pada peraturan mesyuarat jika dicuba menimbangkan semula apa-apa perkara tertentu yang telah diputuskan oleh Majlis Mesyuarat dalam penggal Majlis yang ada sekarang, kecuali dengan dikeluarkan usul bersendiri bagi membatalkan keputusan Majlis Mesyuarat berkenaan dengan perkara itu.

(4) Adalah menjadi kesalahan bagi Ahli-ahli Dewan yang menggunakan bahasa kurang sopan (biadap) atau membuat pernyataan yang seksis.

(5) Seseorang ahli tidak dibenar menyebutkan nama ahli yang lain.

(6) Seseorang ahli tidak boleh mengeluarkan sangkaan jahat ke atas siapa-siapa ahli lain.

(7) Nama Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atau nama Raja-raja Melayu atau Tuan-tuan Yang Terutama Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri tidak boleh digunakan bagi mempengaruh Majlis Mesyuarat.

(8) Kelakuan atau sifat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atau Raja -raja Melayu atau Tuan -tuan Yang Terutama Yang di- Pertua-Yang di-Pertua Negeri atau Hakim-hakim dan lain-lain orang yang menjalankan keadilan mahkamah atau ahli-ahli Majlis Pasukan Bersenjata atau mana-mana Suruhanjaya Jawatan Kerajaan yang ditubuhkan menurut Bahagian X dalam Perlembagaan atau ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan raya atau siapa-siapa jua Ketua Negara negeri-negeri yang bersahabat dengan Malaysia, tidak boleh disebutkan kecuali dengan dikeluarkan usul bersendiri bagi maksud-maksud itu.

(9) Dalam apa-apa perbahasan, tidak boleh disebutkan kelakuan atau sifat siapa-siapa Ahli-ahli Parlimen atau siapa-siapa pegawai Kerajaan selain daripada kelakuan pada menjalankan urusannya sebagai Ahli Parlimen atau pegawai Kerajaan.

(10)  Adalah salah pada Peraturan menggunakan—

(a) perkataan-perkataan derhaka kepada negeri;

(b) perkataan-perkataan membangkitkan perasaan melawan kuasa Kerajaan;

(c) perkataan-perkataan yang harus menaikkan perasaan bersakit-sakit hati atau bermusuh-musuhan di antara satu kaum dengan satu kaum d alam Malaysia atau melanggar mana-mana syarat dalam Perlembagaan atau Akta Hasutan 1948.

(11)  Jika pada timbangan Tuan Yang di-Pertua bahawa apa- apa usul atau pindaan atau perbahasan yang akan dijalankan lagi di atas usul atau pindaan itu tujuannya melanggar Peraturan ini, maka Tuan Yang di-Pertua berkuasa menolak usul atau pindaan itu ikut mana yang dikehendaki, atau memberhentikan perbahasan itu dan memerintahkan supaya usul atau pindaan itu tidak boleh dibahaskan lagi.

(12) Mana-mana ahli yang mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan Dewan adalah disifatkan menghina Majlis dan ahli itu boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi kesalahan itu.

Berasaskan kepada Peraturan 36, walaupun para Ahli Dewan mempunyai kebebasan bersuara dan boleh berlindung di bawah Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan, iaitu peruntukan mengenai Keistimewaan Parlimen, para Ahli Dewan hendaklah patuh dan membuat perbahasan dengan berhemah dan menjiwai peraturan serta mematuhi etika perbahasan. Peraturan ini dibuat bagi menjaga kemuliaan Dewan sebagai forum bagi para wakil rakyat memberi khidmat kepada rakyat dan kedaulatan negara.

Peraturan ini juga adalah bagi menjaga integriti dan kualiti perbahasan yang tinggi tanpa memburukkan atau menghina sesiapa dan tidak menggunakan sesiapa bagi mempengaruhi Dewan Rakyat dalam membuat apa juga keputusan. Kemuliaan Dewan Rakyat adalah perkara utama yang perlu diberikan perhatian oleh para wakil rakyat. Justeru, seharusnya jua, ayat-ayat dalam perbahasan hendaklah menunjukkan pekerti yang tinggi.

Perkara 63. Keistimewaan Parlimen.

(1) Kesahan apa-apa prosiding di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen atau dalam mana-mana jawatankuasanya tidak boleh dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah.

(2) Tiada seorang pun boleh dikenakan apa-apa prosiding di dalam mana-mana mahkamah berkenaan dengan apa-apa jua yang dikatakan atau apa-apa undi yang diberikan olehnya semasa mengambil bahagian dalam apa-apa prosiding mana-mana satu Majlis Parlimen atau mana-mana jawatankuasanya.

(3) Tiada seorang pun boleh dikenakan apa-apa prosiding di dalam mana-mana mahkamah berkenaan dengan apa-apa jua yang disiarkan oleh atau di bawah kuasa mana-mana satu Majlis Parlimen.

(4) Fasal (2) tidaklah terpakai bagi mana-mana orang yang dipertuduh atas suatu kesalahan di bawah undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen di bawah Fasal (4) Perkara 10 atau atas suatu kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948 [Akta 15] sebagaimana yang dipinda oleh Ordinan No. 45 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970 [P.U. (A) 282170].

(5) Walau apa pun Fasal (4), tiada seorang pun boleh dikenakan apa-apa prosiding di dalam mana-mana mahkamah berkenaan dengan apa-apa jua yang dikatakan olehnya tentang Yang di-Pertuan Agong atau seseorang Raja semasa mengambil bahagian dalam apa-apa prosiding mana-mana satu Majlis Parlimen atau mana-mana jawatankuasanya kecuali jika dia menganjurkan penghapusan kedudukan berperlembagaan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara bagi Persekutuan atau kedudukan berperlembagaan Raja sesuatu Negeri, mengikut mana-mana yang berkenaan.

Profesor Dr Shamrahayu Abd Aziz
Pakar Perlembagaan
Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu di Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button