Berita Utama

19 termasuk 7 warga China terbabit sindiket judi dalam talian, pelaburan

Sindiket mula beroperasi pada Mac guna aplikasi WhatsApp

ALOR SETAR, 29 Syawal 1442H, Khamis – Polis berjaya melumpuhkan satu sindiket perjudian dalam talian dan penipuan pelaburan membabitkan kerugian jutaan ringgit sebulan selepas menahan 19 individu termasuk tujuh warga China dalam tiga serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, serbuan serentak pada 3.40 petang itu dilakukan ke atas tiga buah rumah, hasil maklumat dan risikan selama seminggu oleh pegawai dan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar.

“Hasil serbuan di ketiga-tiga rumah berkenaan, kita berjaya menahan empat wanita tempatan, lapan lelaki tempatan serta enam lelaki dan seorang wanita warga China yang berumur 20 hingga 68 tahun.

“Selain itu, turut dirampas ialah tiga kereta, dua tablet, 11 komputer riba, 195 telefon bimbit dan beberapa barangan komunikasi lain yang digunakan bagi menjalankan sindiket berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, sindiket yang mula beroperasi pada Mac lalu itu menggunakan aplikasi WhatsApp untuk mempromosikan perjudian dalam talian dan penipuan pelaburan mata wang kripto, bitcoin dengan kebanyakan mangsa adalah di Kanada dan negara Asia lain.

“Mereka mewujudkan kumpulan dalam aplikasi tersebut dengan menyasarkan pelanggan sebelum membuat promosi. Mereka akan berinteraksi dengan pelanggan yang berminat untuk melabur sebelum menipu pelanggan menggunakan laman sesawang ‘bittbay88.com’.

“Sejak beroperasi pada Mac lalu, mereka telah mengaut keuntungan antara RM300,000 hingga RM500,000 sebulan bagi setiap rumah yang beroperasi,” katanya.

Katanya, kesemua suspek ditahan reman tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Akta Imigresen 1959/1963 dan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button