Berita Utama

PKPB: Johor benarkan solat Jumaat ikut kapasiti

Di semua masjid, surau mulai esok sepanjang tempoh PKPB

JOHOR BAHRU, 26 Rabiulawal 1442H, Khamis – Kerajaan negeri Johor membenarkan pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu berjemaah lima waktu di semua masjid dan surau di negeri ini mulai esok, sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi berkata pelaksanaannya juga kekal terhad mengikut satu pertiga kapasiti masjid dan surau yang diberikan kebenaran solat Jumaat, dengan mematuhi penjarakan fizikal.

Beliau berkata peraturan itu turut terpakai di semua zon yang diklasifikasi merah, kuning atau hijau, kecuali kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), dan kanak-kanak berumur 10 tahun ke atas juga dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat serta solat berjemaah.

Katanya pada masa sama urusan berkaitan nikah, cerai dan rujuk dibenarkan, namun ia hendaklah dilaksanakan di Pejabat Kadi Daerah sahaja sepanjang tempoh PKPB.

“Kursus pra-perkahwinan di negeri ini hendaklah dibuat secara dalam talian sahaja dan kursus secara bersemuka ditangguhkan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media, yang turut dihadiri Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad dan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) Datuk Noh Gadut, di sini hari ini.

Katanya semua perhimpunan bagi program pengimarahan hanya dibenarkan bagi zon hijau dan kuning mengikut tempoh waktu, satu pertiga kapasiti dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, namun sebarang jamuan tidak dibenarkan, dan jika diadakan ia perlu dibuat secara bungkusan.

Sementara itu bagi pengurusan dan pengebumian jenazah serta ziarah tanah perkuburan, Tosrin berkata ia turut tertakluk kepada SOP yang ditetapkan, antaranya urusan ziarah ke tanah perkuburan dihadkan kepada 15 minit, dan pelaksanaan urusan jenazah di masjid serta surau hendaklah tidak melebihi lima orang termasuk ahli waris dan kariah.

“Pengurusan pengebumian pula dibenarkan dihadiri 50 orang waris sahaja bagi zon hijau dan kuning, manakala zon merah hanya 20 orang sahaja,” katanya.

Dalam perkembangan lain Tosrin berkata Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) telah mengeluarkan surat perintah kepada Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) bagi memanggil tiga individu dari pergerakan berkenaan untuk tampil memberi penerangan kepada Bahagian Penguatkuasa JAINJ.

Surat perintah itu dikeluarkan oleh Bahagian Penguatkuasa JAINJ sebanyak dua kali dalam tempoh dua minggu lepas, dan yang terbaru lima hari lepas, namun pihak HTM sehingga kini tidak memberi sebarang maklum balas.

Tosrin berkata sekiranya kumpulan ini masih tidak beri maklum balas, pihaknya akan berbincang dengan JAINJ dan pihak berkaitan bagi mengenal pasti tindakan seterusnya yang boleh diambil terhadap mereka.

“HTM ini tidak berdaftar serta lantang dalam media sosial, kita tidak akan membalas (kenyataan) mereka.. kita akan bertindak jika ada pergerakan yang ketara, termasuk sekiranya ada ceramah dan sebagainya. Setakat ini, kumpulan ini masih terkawal dan tiada pergerakan di negeri ini,” katanya.

Baru-baru ini, Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mendedahkan pihaknya akan berkolaborasi secara rapat dengan JAINJ untuk menggempur pusat-pusat kumpulan fahaman itu di negeri ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button