Berita Utama

Tak puas hati disindir mungkin punca suspek bunuh Siti Nur Surya

Ada kesan tusukan pada leher mangsa, beberapa kecederaan lain

BANGI, 17 Rabiulawal 1442H, Selasa – Punca pembunuhan Siti Nur Surya Ismail di Kampung Lubok Batu, Telemong, Kuala Berang, kelmarin mungkin disebabkan perasaan tidak puas hati suspek akibat sering disindir.

Tidak menolak kemungkinan itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, ia berikutan pendedahan suspek ketika tampil di Balai Polis Telemong bersama ibunya bagi membantu siasatan kes berkenaan kira-kira jam 7.30 pagi semalam.

“Suspek berusia 19 tahun mendakwa bahawa mangsa sering mengejek kehidupan keluarganya yang miskin kerana ibu hanya bekerja sebagai tukang cuci dan bapa pula bekerja kampung, berbanding kehidupan keluarga mangsa yang agak senang.

“Suspek turut mendakwa mangsa suka mengejek dengan menyatakan dia tidak cantik berbanding dirinya, dan kononnya kekurangan itu menjadi punca suspek masih tiada teman lelaki sehingga dia sering memendam perasaan,” katanya seperti dilapor Berita Harian hari ini.

Mohd Adli bagaimanapun berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Katanya, selain pergelangan tangan Siti Nur Surya dipotong, pemeriksaan juga mendapati ada kesan tusukan pada leher mangsa dan beberapa kecederaan lain.

“Polis juga percaya ada berlaku pergelutan antara mangsa dengan suspek kerana kita menjumpai beberapa helaian rambut dalam genggaman mangsa,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan, seorang remaja perempuan berusia 19 tahun ditemui mati dipercayai dibunuh dalam kejadian samun.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa ditemui tertiarap di ruang tamu rumah berkenaan oleh adiknya, Siti Nur Syuhada, 15, yang baru pulang dari sekolah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button