Berita Utama

Sanggup lawan arus untuk balik kampung sambut Deepavali

Kemalangan babit tiga kenderaan, tiada mangsa cedera

IPOH, 26 Rabiulawal 1442H, Khamis – Gara-gara ingin mengelak sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Sungkai, seorang lelaki nekad memandu melawan arus sehingga mengakibatkan kemalangan di KM355.4 Lebuh Raya Utara Selatan, arah utara dekat Bidor, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden kemalangan membabitkan tiga kenderaan itu pada jam 6.08 petang semalam.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila T Yugeswaran, 34, yang memandu Perodua Axia dari Klang, Selangor ke Bidor, Tapah untuk menyambut Deepavali nekad melawan arus sejauh 1.4 kilometer dari KM354 di susur keluar Sungkai arah utara selepas melihat SJR polis.

Rentetan itu, sebuah Toyota Rush yang dipandu seorang lelaki di lorong kanan arah utara tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan Perodua Axia tersebut dan berpusing beberapa kali.

“Kebetulan sebuah lori treler yang membawa muatan sarung tangan juga tidak sempat mengelak lalu melanggar Perodua Axia itu. Bagaimanapun, ketiga-tiga pemandu tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Wan Azharuddin berkata, pemandu Perodua Axia itu telah ditahan di rumahnya di Bidor kira-kira pukul 11 pagi ini bagi siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button