Berita Utama

Tak mustahil UMANY akan cabar identiti negara jika terus diberi ruang

Adakah mereka diasuh oleh gerakan anti-Perlembagaan?

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 26 Rabiulawal 1442H, Khamis – Kritikan Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (UMANY) terhadap pihak polis hanyalah sekelumit jika hendak dibandingkan kebencian pertubuhan yang dipercayai pro-DAP itu terhadap identiti negara.

Terdahulu, UMANY mendakwa, polis menyalahgunakan kuasa memanggil ahli jawatankuasa persatuan itu, walaupun keterangan presiden dan naib presiden sudah diambil pada 5 November lalu.

Presidennya, Yap Weng Qin yang didakwa mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong supaya tidak mencampuri hal ehwal negara 13 Ogos lalu berkata, keterangan pemimpin tertinggi pertubuhan itu sudah memadai untuk siasatan tersebut.

Dilaporkan juga bahawa hanya enam Ahli Jawatankuasa UMANY yang hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang sekitar jam 11.15 pagi, pada 9 November lalu sedangkan sebelum itu tujuh orang diperintah hadir untuk dirakam keterangan mereka.

Mengulas perkara itu, Presiden Kelab Mahasiswa BERJASA (WIBAWA), Azrul Azham menjangkakan UMANY akan sentiasa membawa isu yang akan mencabar identiti negara jika terus diberi ruang.

“Kita tak pelik mengapa mahasiswa ini beriya-iya menentang identiti negara bila mana mereka ini diasuh oleh gerakan yang juga anti-Perlembagaan.

“Oleh itu mereka terus menjaja sifat kebencian kepada agensi negara dan menagih kasihan kepada UMANY kononnya mereka tidak bersalah,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

UMANY sebelum ini mencetuskan kontroversi – apabila mempersoal campur tangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam urusan pentadbiran negara.

Pertubuhan itu menyatakan pendiriannya – YDPA tidak boleh mencampuri urusan negara tetapi perlu sentiasa menjaga sikap berkecuali dan memainkan peranannya dalam kerangka yang dibenarkan oleh Perlembagaan.

Bagaimanapun, hantaran UMANY mengenai perkara itu di Facebook dipercayai telah dipadamkan selepas mendapat kritikan daripada banyak pihak.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button