Berita Utama

8 lelaki termasuk tiga warga China didenda RM1,500, bertaruh judi tidak sah

Rayu denda minimum alasan tanggung keluarga

KUALA LUMPUR, 27 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Lapan lelaki termasuk tiga warga China masing-masing didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, kerana membuat pertaruhan perjudian secara tidak sah.

Majistret Nurfarahain Roslan menjatuhkan hukuman itu terhadap Lo Wai Hoong, Yap Wai Kian, Leong Jie Fu, Yap Wei Xin, Chan Kah How serta tiga warga China, Liu Caihua, Jiang Shaorong dan Chen Bing Ming, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibacakan dalam Bahasa Mandarin.

Mahkamah turut memerintahkan semua tertuduh yang berusia antara 18 hingga 32 tahun itu, menjalani hukuman penjara dua bulan, sekiranya gagal membayar denda.

Mereka didakwa membuat pertaruhan perjudian secara tidak sah di sebuah unit di Kondominium Sky Vista, Jalan Senjolong, Taman Bukit Ria, Cheras, di sini pada 1.45 tengah hari, 2 November lepas mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Najihah Farhana Che Awang memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran, bagaimanapun semua tertuduh yang diwakili peguam Jamil Othman merayu hukuman denda mimimum dengan alasan mereka menanggung keluarga. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button