Berita Utama

Batalkan ABPBH!

Netizen kesal pemimpin tidak dengar keluhan rakyat

BANGI, 27 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Kurang lagi empat jam Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-33 akan berlangsung, gesaan supaya penganjuran itu dibatalkan semakin memuncak.

Bukan itu sahaja, desakan supaya Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk berlaku adil dengan tidak membenarkan majlis itu berlangsung oleh orang awam juga semakin hangat diperkatakan.

Ramai pihak termasuk Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin meminta MKN berlaku adil dalam menetapkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mendepani wabak COVID-19.

Beliau kesal apabila MKN membenarkan majlis hiburan itu berlangsung sedangkan pada masa sama, SOP untuk masjid pula ketat.

“SOP untuk masjid sangat ketat – remaja tidak dibenarkan ke masjid, atau solat Jumaat dibatalkan di sesetengah negeri – tetapi MKN boleh benarkan konsert ABPBH!

“Walaupun dilangsungkan dalam dewan tertutup, ia akan melibatkan hampir 300 orang artis, krew, wartawan dan VVIP (orang kenamaan) selama beberapa jam.

“Bukankah kita perlu tingkatkan ibadah dan taubat tatkala wabak dan bukan dengan maksiat?,” soalnya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Tinjauan Ismaweb.net mendapati, rata-rata netizen bersetuju dengan pendapat yang dikemukakan bahkan ada juga yang meminta pihak penganjur diboikot.

Salah seorang pengguna akaun Facebook dikenali sebagai Wan Azhan secara sinis berkata, majlis nikah dan keagamaan lebih utama dari program-program yang tidak memberi manfaat dunia mahupun akhirat.

“Sekurang-kurangnya bagilah jemaah-jemaah memakmurkan masjid dengan Isyak dan Subuh. Rasanya tak menjadi masalah pun sebab rata-rata masjid dah tahu SOP,” katanya.

Carlmarl Mustoffa pula meminta ABPBH mengambil pendekatan sama seperti majlis konvokesyen dibatalkan atau melaksanakan norma baharu dengan pemberian anugerah secara talam talian

“Majlis konvokesyen yang prestige pun boleh dibatalkan. Inikan pulak ABPH, batalkan saja, ayuh laksanakan norma baru, nak bagi anugerah online pun boleh,” katanya.

Sementara, Siti Hajar mengaku sudah muak dengan sikap pemimpin-pemimpin Islam di negara ini yang seolah-olah tidak mempedulikan keluh kesah rakyat yang bersuara.

“Bukankah kita dituntut untuk melebihkan munajat pada Allah SWT di kala musibah melanda, tapi apa? Macam-macam alasan dan prosedur yang diketengahkan untuk yang ini, dan yang itu,” luahnya kesal.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button