Berita Utama

Ceroboh tanah haram: PEMBELA akan pastikan kapitalis tak terus kaut untung

Komplot pengambilan tanah secara haram mesti dihentikan

BANGI, 27 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) tidak akan membenarkan golongan kapitalis dan taikun terus mengaut untung – termasuk kes percerobohan tanah haram di Raub, Pahang.

Atas dasar itu, PEMBELA – yang terdiri daripada 300 NGO Islam – sekali lagi hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai isu berkenaan.

Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, kehadiran beberapa wakil NGO pagi tadi adalah sebagai sesi susulan terhadap kes itu.

“Kita akan terus mengangkat dan perjuangkan kes ini terutamanya di peringkat atasan supaya kedaulatan undang-undang dapat ditegakkan.

“Ini juga penting supaya komplot-komplot pengambilan tanah secara haram sebegini tidak lagi berulang pada masa akan datang. 

“Ini akan merugikan anak watan dan negara tetapi sebaliknya hanya menguntungkan sang kapitalis dan taikun yang rakus sahaja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain Haji Aminuddin yang juga Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), turut hadir Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan Naib Pengerusi PEMBELA, Ustaz Masridzi Sat.

September lalu, PEMBELA dalam satu sidang medianya mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM menyiasat serta mengambil ke atas penceroboh yang meneroka tanah secara haram di Raub bagi tujuan penanaman durian Musang King.

Isu pencerobohan tanah di Raub timbul selepas media melaporkan lebih 4,400 hektar tanah kerajaan diteroka secara haram selama lebih 40 tahun tanpa sebarang tindakan daripada pihak berkuasa.

Kerajaan Pahang memaklumkan mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun melalui hasil cukai tanah dari kebun haram termasuk di kawasan hutan simpan.

Ekoran itu, kerajaan negeri mula bertindak tegas dengan mengeluarkan notis pengosongan tanah kebun dan pajakan kepada penceroboh terbabit.

Bagaimanapun, penceroboh berkenaan berjaya mendapat Perintah Penggantungan Sementara daripada Mahkamah Tinggi Kuantan yang dilanjutkan sehingga 9 Disember ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button