Berita Utama

Dakwaan Saravanan muslihat tambah peruntukan vernakular?

Belum dengar Menteri Kewangan kata mahu pinda Belanjawan 2021

BANGI, 27 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) membidas kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkenaan peruntukan sekolah vernakular yang didapati mendahului Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan.

Situasi bertambah pelik apabila sehingga ke hari ini masih belum kedengaran keputusan untuk meminda Belanjawan 2021 bagi peruntukan sekolah vernakular dari Menteri Kewangan sendiri.

Sehubungan itu, Presiden ISMA, Haji Aminuddin Yahaya berharap, perkara tersebut bukan satu muslihat untuk menambahkan jumlah peruntukan bagi sekolah vernakular.

“Saya difahamkan hanya sekolah persendirian Cina sahaja tidak diperuntukkan sebarang dana dalam belanjawan kali ini di mana peruntukan bagi sekolah-sekolah vernakular di bawah kelolaan kerajaan (SJKC dan SJKT) termasuk sekali dalam peruntukan sekolah kerajaan, cuma tidak dinyatakan secara khusus. 

“Mustahil jika beliau (Saravanan) tidak tahu, lebih-lebih lagi beliau seorang menteri yang senior.

“Saya harap ini bukannya satu muslihat atau alasan untuk menambahkan lagi jumlah peruntukan bagi sekolah vernakular atas nama kononnya ‘satu peruntukan khusus’ kemudiannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Saravanan mendakwa bahawa Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akan mengumumkan peruntukan khas kepada sekolah vernakular dalam masa terdekat.

“Dua hari lalu, saya mengadakan perbincangan dengan Tengku Zafrul dan Menteri Pendidikan berhubung peruntukan khas. Akan ada pengumuman dalam masa terdekat,” katanya dilapor media.

Dalam pada masa sama, Aminuddin secara sinis ‘kagum’ dengan sikap dipamerkan Saravanan yang memperjuangkan sekolah vernakular meskipun bergelar seorang menteri. 

“Beliau bukanlah Menteri Pendidikan, bukan juga Menteri Kewangan tetapi adalah Menteri Sumber Manusia yang tiada kena mengena dengan sekolah vernakular. Tetapi beliau tidak menjadikannya satu halangan untuk bersuara mengenai sekolah vernakular,” katanya.

Beliau menambah, untuk pengetahuan Saravanan, pihaknya kini telah mencabar keabsahan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) disisi Perlembagaan Persekutuan di mahkamah.

Katanya, kes berkenaan sedang berjalan dengan harapan semua pihak bakal menikmati sistem pendidikan satu aliran, sekali gus tidak timbul lagi isu berkaitan peruntukan sekolah vernakular pada masa hadapan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button