Berita Utama

Malaysia sambut baik kenyataan bersama mengenai AOIP

Buktikan komitmen ASEAN, Jepun dalam kukuh kerjasama praktikal

KUALA LUMPUR, 27 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Malaysia menyambut baik Pernyataan Bersama Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-23 berhubung kesepakatan ASEAN mengenai Indo-Pasifik (AOIP) yang disifat sebagai membuktikan komitmen ASEAN dan Jepun dalam memperkukuh kerjasama praktikal.

Pada sidang video Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-23, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Malaysia yakin hubungan akrab antara ASEAN dan Jepun akan dapat dipereratkan lagi menerusi pelbagai pertemuan dan inisiatif terutama dalam empat aspek teras kerjasama iaitu maritim, kesalinghubungan, ekonomi dan Sasaran Pembangunan Mampan.

“Kami berharap dapat mengukuhkan kerjasama demi manfaat bersama, saling berkolaborasi untuk kepentingan bersama dalam pelbagai bidang,” katanya.

Sementara itu dalam sektor ekonomi, beliau berkata Jepun selaku satu daripada rakan dagang utama ASEAN, memainkan peranan besar dan menjadi sumber penting pelaburan langsung asing ke rantau ini, memanfaatkan kepada negara anggota.

“Malaysia melihat penerimaan Pelan Tindakan Ekonomi ASEAN-Jepun adalah sebagai suatu yang tepat pada masanya. Kami percaya pelan ini akan memberi kesan besar dalam membantu memastikan aliran barangan dan perkhidmatan serta mengekalkan rantaian bekalan di rantau ini,” katanya.

Perdana Menteri berkata, pelan tindakan itu penting ketika rantau ini berdepan masalah ekonomi akibat kesan penularan wabak COVID-19.

Beliau turut berkata, kerjasama juga boleh ditingkatkan antara ASEAN dan Jepun dalam bidang teknologi maklumat dalam usaha memastikan pemulihan ekonomi komprehensif selepas COVID-19.

Katanya, kepakaran Jepun dalam teknologi maklumat begitu bernilai kepada ASEAN dalam usaha rantau ini melangkah ke revolusi digital.

Mengulas mengenai kerjasama pendidikan, Muhyiddin berkata, Malaysia mengalu-alukan penyambungan program kerjasama pelbagai institusi ASEAN dengan Jepun dalam menggalakkan jaringan lebih luas terutama dalam bidang pendidikan dan penyelidikan, perkongsian sumber serta kepakaran, pertukaran idea dan pengetahuan di samping bidang kerjasama lain.

Muhyiddin turut menyampaikan penghargaan Malaysia kepada Jepun yang menyumbangkan US$1 juta untuk Dana COVID-19 ASEAN dan menyambut baik cadangan penubuhan Pusat Serantau ASEAN mengenai Kecemasan Kesihatan Awam dan Kemunculan Penyakit Berjangkit. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button