Berita Utama

Pencemaran Sg Selangor: Seorang lagi direman 7 hari

Suspek direman siasat kes ikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan

KUALA LUMPUR, 27 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Seorang lelaki direman tujuh hari mulai hari ini hingga 19 November berhubung kejadian pencemaran bau air mentah di Sungai Selangor yang menyebabkan gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Lembah Klang, Selasa lepas.

Perintah reman ke atas suspek berusia 58 tahun itu dikeluarkan Majistret Nur Hafizah Rajuni di Mahkamah Majistret Selayang di sini, selepas membenarkan permohonan polis untuk mereman suspek selama tujuh hari.

Lelaki itu direman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan melakukan khianat dengan mendatangkan bencana terhadap perjalanan tali air sehingga menyebabkan susut bekalan air kepada manusia dan haiwan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Prosiding reman itu bermula pada 9 pagi dan selesai 9.20 pagi. Suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Selayang pada 8.30 pagi selepas ditahan semalam.

Pada 11 November lepas, empat individu termasuk dua pengarah syarikat pembinaan jalan raya berusia antara 33 dan 43 tahun ditahan reman tujuh hari mulai 11 Nov hingga 17 November ini bagi membantu siasatan kes sama mengikut seksyen serupa.

Mahkamah sama mengeluarkan perintah reman itu ke atas seorang wanita berusia 40 tahun dan lelaki berusia 43 tahun yang merupakan pengarah syarikat itu dan dua lelaki yang seorang adalah warga Bangladesh.

Sebelum ini, media melaporkan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang dan Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2 dan 3 telah dihenti tugas menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1,139,008 akaun pengguna di Lembah Klang, berikutan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.

Gangguan bekalan itu merangkumi 1,279 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mulai 6 petang pada 10 November lepas. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button