Berita Utama

Isu mahkamah tak lemahkan sokongan terhadap PN

Rakyat mahu masalah mereka diselesai, bukan isu lama 'dikorek'

MELAKA, 24 Ramadan 1444H, Sabtu – Sokongan rakyat terhadap Perikatan Nasional (PN) tidak sesekali lemah, tetapi semakin bertambah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan di enam negeri tak lama lagi.

Ketua Penerangan PN Melaka, Bakri Jamaluddin berkata, hakikatnya bukan sahaja dalam kalangan pengundi saluran empat, lima dan enam, malah saluran satu dan dua mula menunjukkan sokongan positif.

“Saya lihat gelombang hijau ini makin lama makin kuat dan tak pernah padam, bertambah kuat.

“Saya percaya rakyat tidak mudah terpengaruh dengan isu-isu mahkamah yang dilaporkan, mereka lebih berpengetahuan terutama anak-anak muda yang menggunakan media sosial,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.

Ahli Parlimen Tangga Batu itu berkata, walaupun beberapa pemimpin PN terpalit dengan kes mahkamah, namun dilihat tidak mengurangkan atau memberi kesan kepada semangat gelombang hijau.

Ini kerana, katanya, rakyat pada hari ini mahukan masalah mereka diselesaikan dan bukannya isu lama ‘dikorek’ serta dijaja.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka berkata, paling penting dan utama, rakyat mahukan masalah mereka termasuk kos sara hidup tinggi diselesaikan dan mempunyai solusi yang bernas, bukan disajikan dengan dakwaan yang tidak berasas.

Melaksanakan apa yang dikata, Bakri memaklumkan bahawa beliau sanggup  menggunakan elaun Ahli Parlimen untuk membantu rakyat yang memerlukan meskipun belum menerima peruntukan daripada kerajaan pusat.

“Sebenarnya banyak lagi rakyat dalam Parlimen ini mahu kita bantu, namun dengan kekangan kewangan menyukarkan untuk kita membantu dengan lebih meluas.

“Harap kerajaan pusat dapat permudah cara agar wakil rakyat PN juga tidak dipinggirkan untuk menerima bajet, seterusnya disalurkan dan diagihkan kepada rakyat,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button