Berita UtamaDunia

Rejim pengganas Israel culik Pengarah Pusat Manuskrip Masjid al-Aqsa

Radwan Amr terkenal dedah rancangan pengyahudian Israel di Baitulmaqdis

BAITULMAQDIS, 27 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Rejim pengganas Israel bersama ejen penyamar menculik Pengarah Pusat Manuskrip Masjid al-Aqsa, Radwan Amr dalam operasi di Baitulmaqdis Timur dan menahan beberapa orang Palestin lain dalam satu siri serbuan berasingan di wilayah yang dijajah.

Media Palestin yang memetik sumber mengatakan, tentera Israel menyerbu kejiranan al-Thawri di selatan Masjid al-Aqsa, pada petang Rabu dan memecah masuk rumah Amr, sebelum menahannya.

Amr, seorang akademik dan aktivis terkenal kerana mendedahkan rancangan pengyahudian rejim Israel di Baitulmaqdis.

Ibunya, Zeina, bekerja sebagai guru di perkarangan Masjid al-Aqsa dan ayah beliau pakar dalam mendedahkan pelanggaran Israel.

Pihak berkuasa pendudukan Israel baru-baru ini meningkatkan kempen penganiayaan terhadap pegawai Palestin dan pekerja organisasi Wakaf Islam (Wakaf) yang mengawasi tempat suci umat Islam di Baitulmaqdis, yang kini berada di bawah sekatan ketat tentera rejim Israel.

Di luar perkarangan terutama di pintu gerbangnya, tentera Israel mengenakan sekatan ke atas akses jemaah Palestin ke masjid, meminta kad pengenalan, merampasnya dan menggeledah beg mereka.

Manakala, secara berasingan, Pusat Maklumat Palestin mengatakan bahawa pasukan Israel menculik beberapa orang Palestin dalam serangan besar-besaran, semalam di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.

Sejumlah aktivis, pelajar universiti dan juga kanak-kanak bawah umur adalah antara tahanan.

Tentera Israel menculik pemuda Palestin itu setelah masuk ke rumah mereka di bandar-bandar Tebing Barat, Bethlehem, al-Khalil (Hebron) dan Nablus.

Beberapa orang Palestin juga dibawa secara paksa oleh tentera Israel di perkampungan Ramallah al-Mughayyir dan Kafr Ni’ma.

Mereka juga menyerbu kem pelarian Tulkarem dan kota Ramallah Kobar semasa kempen penculikan. Penduduk tempatan mengatakan pertempuran ganas berlaku antara tentera dan penduduk di tanah perkuburan lama di Kobar dan di tempat lain di seluruh wilayah.

Rangkaian pertempuran ganas juga meletus ketika pasukan Israel menyerbu kem pelarian Qalandiya di Baitumalqdis Timur. Mereka juga menculik dua pemuda Palestin dari bandar at-Tur di wilayah yang diduduki. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button