Usahawan kosmetik, tentera ditahan terbabit kes dadah
Transit ke Malaysia sebelum edar dadah ke negara jiran

SHAH ALAM, 27 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Seorang usahawan kosmetik bergelar Datuk Seri bersama adiknya, seorang anggota tentera ditahan dalam satu serbuan di Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan, Selasa lalu kerana dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, dalam serbuan kira-kira jam 4.30 petang itu, kedua dua mereka yang berusia 25 dan 31 tahun itu, ditahan bersama dadah jenis syabu seberat 126.85 kilogram yang dibungkus dalam bungkusan teh cina bernilai kira-kira RM5 juta.
Mereka difahamkan menggunakan modus operandi menjadikan Malaysia sebagai negara transit sebelum mengedarkan bekalan dadah ke negara jiran.
Beliau berkata, dalam serbuan dilakukan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama Ibu Pejabat Polis (IPD) Serdang, dua lelaki warga tempatan menaiki kenderaan jenis Ford Mustang ditahan manakala dadah jenis syabu ditemui dalam bungkusan teh cina.
“Hasil siasatan, telah membawa kepada penahanan tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia berusia 32 hingga 43 tahun di kawasan yang sama.
“Dua warga tempatan terbabit merupakan ahli sindiket ini manakala lelaki warga asing yang pasportnya telah tamat tempoh dipercayai orang tengah bagi urusan jual beli dadah.
“Pemeriksaan mendapati kesemua mereka positif dadah dan salah seorang daripada mereka mempunyai 19 rekod jenayah lampau.
“Kita turut merampas tiga buah kenderaan iaitu Nissan Almera, Toyota Innova dan Honda HRV dalam serbuan kedua ini,” katanya seperti dilapor Utusan.
Arjunaidi berkata, siasatan lanjut mendapati, dadah jenis syabu itu diseludup dari negara jiran yang terletak di Utara seterusnya melalui Pantai Timur ke Pantai Barat sebelum diedarkan di negara jiran lain.
“Berdasarkan dadah yang dirampas, kita percaya ia mampu membekalkan kepada 253,700 penagih dalam masa sehari dengan mengambil kiraan penggunaan 0.5 gram,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga Selasa hadapan bagi membantu siasatan.