Berita UtamaDunia

Volkswagen nafi guna buruh paksa Uyghur hasilkan produk

Pengkriitk dakwa syarikat kereta sokong kepada China secara senyap

BERLIN, 27 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Jenama kereta terkemuka, Volkswagen tetap dengan keputusan untuk terus beroperasi di wilayah Xinjiang, China.

Menerusi wawancara bersama BBC di Beijing, Ketua Pegawai Eksekutif Volkswagen di China, Stephen Wollenstein menafikan pihaknya menggunakan buruh paksa etnik minoriti Uyghur dalam penghasilan produknya.

Wollenstein berkata, cawangan kilang kereta di Xinjiang itu mempunyai 600 pekerja serta menghasilkan 20,000 kenderaan setahun.

“Apa yang berlaku pada zaman Nazi adalah sesuatu yang berlaku di kilang-kilang kami, di mana kami telah memaksa orang bekerja bagi menghasilkan Volkswagen.

“Ini jelas merupakan situasi yang tidak dapat diterima. Oleh itu, kami memastikan bahawa tiada tempat di produksi kami yang mengambil buruh paksa bekerja.

“Kami telah menjalankan pemeriksaan di Urumqi dan saya dapat memberi jaminan kepada anda bahawa kami tidak memiliki buruh paksa,” katanya.

Ibu negeri Xinjiang, Urumqi diduduki sekitar 25 peratus etnik Uyghur serta minoriti lain, dan Wollenstein bagaimanapun berkata, beliau tidak dapat memberi keyakinan atau jaminan bahawa tiada buruh paksa dari etnik itu di kilangnya di bandar berkenaan.

“Kami cuba mengawal proses termasuk sumber manusia di mana kami mengambil pekerja dengan cara terbaik.

“Dan ini mengurangkan risiko bagi sesuatu yang kami tidak sukai selain mematuhi piawaian kami. Tetapi, saya rasa kita tidak pernah dapat mencapai kepastian 100 peratus,” katanya.

Bukti bahawa ratusan ribu etnik Uyghur dan minoriti lain ditahan di kem atau digunakan sebagai buruh paksa di kilang telah menyebabkan beberapa syarikat multinasional memutuskan hubungan dengan wilayah Xinjiang.

Sementara itu, pengkritik Viola von Cramon-Taudabel berkata, Wollenstein gagal memberi penerangan jelas.

Beliau adalah anggota Parti Hijau Parlimen Eropah dan bekas Ahli Parlimen Persekutuan Jerman dari Lower Saxony – negeri di mana ibu pejabat Volkswagen berpusat.

“Mengapa mereka tidak yakin? Mereka harus memastikan bahawa tidak ada hubungan antara kem buruh dengan syarikat itu,” katanya kepada BBC.

Meskipun Volkswagen membuktikan rantai bekalan mereka bersih, kritikan itu jauh lebih mendalam.

Hal ini kerana pembukaan kilang di Xinjiang memerlukan persetujuan pihak berkuasa China.

Pengkritik menjangkakan syarikat itu berisiko memberi sokongan secara tersembunyi berkaitan isu penahanan dan penindasan etnik minoriti di negara itu.

Volkswagen ditubuhkan oleh Parti Nazi Jerman pada 1937 dan menggunakan buruh paksa termasuk tahanan kem konsenstrasi di kilangnya ketika Perang Dunia II. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button