Berita Utama

Tak terkejut, Khairy ada hak sertai parti politik lain: Zahid

Enggan ulas 'strategi' UMNO jika Khairy terima tawaran Bersatu

KUALA LUMPUR, 27 Syawal 1444H, Khamis – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengakui tidak terkejut dengan dakwaan bahawa Khairy Jamaluddin ditawarkan ‘jawatan tinggi’ dalam parti Bersatu.

Beliau berkata, Khairy, yang dipecat daripada UMNO awal tahun ini, mempunyai hak untuk menyertai mana-mana parti politik lain memandangkan beliau bukan lagi ahli UMNO.

“Ia adalah haknya (kerana) dia bukan lagi ahli UMNO,” kata Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, hari ini.

Bagaimanapun, Zahid enggan mengulas apabila ditanya mengenai langkah UMNO seterusnya sekiranya Khairy menerima tawaran menyertai Bersatu.

Beliau juga enggan menjelaskan sama ada UMNO akan membuat tawaran balas untuk Khairy kembali ke UMNO.

“Saya tidak mahu memberikan strategi seterusnya. Ia tidak lagi menjadi strategi jika saya berkongsi di sini (dengan ahli media semasa sidang media),” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Semalam, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui menawarkan Khairy jawatan tinggi dalam majlis pimpinan tertinggi Bersatu.

Muhyiddin berkata, tawaran untuk Khairy masih dibincangkan sambil berkata bekas Ketua Pemuda UMNO itu mempunyai pengalaman dan berkaliber untuk menyumbang kepada parti.

Khairy adalah antara beberapa pemimpin yang dipecat dan digantung daripada UMNO kerana didakwa melanggar Perlembagaan parti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button