Berita Utama

Kebenaran buka masjid, tetap jumlah jemaah bidang kuasa negeri

Sebarang keputusan perlu dapat perkenan sultan atau raja

KUALA LUMPUR, 28 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Kebenaran membuka masjid dan penetapan jumlah jemaah semasa penularan wabak COVID-19 ketika ini, adalah tertakluk bawah bidang kuasa negeri serta tidak terletak dalam bidang kuasa kerajaan Persekutuan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, perkara berkaitan hal ehwal agama Islam terletak di bawah kuasa negeri dan sebarang keputusan perlu mendapat perkenan Sultan atau Raja di negeri berkenaan.

“Majlis Keselamatan Negara boleh membuat Prosedur Operasi Standard berkaitan pelbagai bidang tetapi tidak boleh kepada masjid.

“Apa sahaja perkara berkaitan agama, adalah di bawah kuasa negeri dan mesti diperkenan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan setiap negeri. Kita tak boleh buat (buka masjid sepenuhnya) macam Turki kerana kita mesti berdasarkan keputusan negeri-negeri,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara yang disiarkan Bernama TV di sini.

Ismail Sabri berkata demikian ketika ditanya mengenai isu penetapan jumlah jemaah di masjid dan sama ada Malaysia boleh melaksanakan pendekatan Turki yang membenarkan masjid dibuka walaupun terdapat ancaman COVID-19.

Mengulas lanjut, beliau berkata hal ehwal agama Islam misalnya mengenai jumlah jemaah yang dibenarkan hadir di masjid-masjid di Wilayah Persekutuan, bergantung kepada keputusan Yang di-Pertuan Agong. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button