Berita Utama

Letak vernakular kelas kedua, rakyat rindu ketegasan Tun Razak

Ambil iktibar ketegasan Rahman Talib tak tunduk Dong Jiao Zong

BANGI, 28 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Pemimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN) wajar mengambl iktibar daripada sikap ambil berat bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Razak Hussein terhadap bahasa Melayu sehingga mengangkat kedudukan sekolah kebangsaan (SK) di tahap tertinggi.

Sepanjang pemerintahan Allahyarham sebagai ketua negara selama enam tahun, setiap SK dilaporkan menerima peruntukan sangat lumayan jika dibandingkan dengan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT).

Malah, Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PPPPPM), Datuk Abdul Raof Hussin mendedahkan, bantuan buku teks juga hanya diberikan kepada mereka di SK sahaja, manakala sekolah vernakular langsung tidak menerimanya.

Tegas beliau, sikap tersebut bertitik tolak kepada hasrat Allahyarham mahu melihat bahasa Melayu yang juga bahasa kebangsaan didaulat serta diperkasakan di negara ini.

“Dulu waktu Tun Razak, sekolah Cina, sekolah India tak dapat buku teks. Tun Razak sebut sesiapa hendak kelebihan, keistimewaan masuk SK, masuk sekolah kerajaan.

“Kita mahu ketegasan seperti ini dipamerkan semula, saya beberapa kali tegaskan bagi peruntukan kepada sekolah kebangsaan double (berganda) berbanding sekolah lain.

“Saya sedih apabila bertanyakan pandangan Ahli Parlimen berkenaan UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu). Jawab mereka nothing wrong (tiada apa yang salah),” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Abdul Raof menambah, kisah ketegasan Allahyarham Abdul Rahman Talib yang menjadi satu-satunya Menteri Pelajaran berjaya menundukkan pertubuhan radikal Cina, Dong Jiao Zong perlu diteladani.

Katanya, Allahyarham bukan sahaja berjaya mempengaruhi lebih separuh sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) untuk masuk ke dalam sistem pendidikan negara, dengan menggunakan kekuatan politiknya.

Katanya lagi, Allahyarham juga dengan tegas berjaya mewujudkan Akta Pelajaran 1961 yang mampu mengawal selia sekolah vernakular.

Malah, pengasas Jiao Zong, mendiang Lim Lian Geok turut dilucutkan kerakyatan atas kelantangannya menentang dasar pelajaran kebangsaan termasuk Penyata Barnes dan Penyata Rahman Talib 1960, katanya.

“Kita tengok waktu Rahman Talib, Pengerusi Jiao Zong dilucutkan kerakyatan. Masa itu Rahman Talib adalah Menteri Pelajaran, semangat Melayu sangat menebal,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button