Pendapat

Siri 1: Pimpinlah manusia dengan qudwah

Tumpuan aspek tonjol perlakuan, tindakan amali dari dirinya

1. SENI mempengaruhi adalah seni yang amat halus di dalam kepimpinan. Pemimpin yang berjaya adalah pemimpin yang mempunyai kemahiran mempengaruhi yang tinggi. Dengan kemahiran itulah anggota di bawahnya akan bersetuju dengan segala lontarannya dan mula menundukkan diri mengikut apa juga cadangan atau arahan yang dilontarkan kepada mereka.

2. Dalam mempengaruhi ahli satu-satu organisasi dakwah, pemimpin sama ada pemimpin tertinggi atau pemimpin pertengahan perlu menguasai seni mempengaruhi ini. Jika tidak dia akan ditinggalkan oleh pengikutnya sendiri dan mereka tidak akan mempedulikan seruannya.

3. Noktah ini rasanya difahami dengan baik oleh sesiapa juga yang menjadi pemimpin. Tetapi persoalan yang mungkin menjadi noktah perbincangan adalah berkenaan apakah faktor yang mempengaruhi itu? Atau apakah faktor yang akan menjadikan pemimpin memiliki kuasa mempengaruhi pengikut di bawahnya?

4. Cara paling mudah adalah dengan menggunakan tawaran habuan material tertentu. Manusia mempunyai kecenderungan sukakan habuan material. Dengan tawaran tertentu, sebahagian manusia akan menuruti segala permintaan pemimpin. Tetapi cara ini tidak menjamin kesetiaan anggota organisasi tersebut kerana tawaran habuan yang lebih besar dari pihak luar dengan mudah boleh berlaku. Contoh paling mudah boleh dilihat dalam insiden ‘lompat melompat’ oleh anggota parti-parti di Malaysia hari ini.

5. Ada juga yang menggunakan cara ugutan. Sama ada dengan menjadikan kesalahan moral atau jenayah individu sebagai ‘buah’ untuk memberi arahan, atau dengan memberikan ancaman tertentu yang memudharatkan anggota tersebut. Tetapi cara ini hanya akan menjadikan organisasi tidak harmoni kerana dendam akan sentiasa tersimpan di dalam sanubari dan menanti peluang untuk dilepaskan. Ini cara Yahudi, amat tidak sesuai jika digunakan di dalam mana-mana organisasi dakwah.

6. Pemimpin yang baik pula akan menghormati anggota di dalam organisasi. Mereka akan menggunakan saluran yang murni untuk menggerakkan ahli dengan menggunakan arahan dan peraturan yang diputuskan bersama di dalam mesyuarat atau yang memang merupakan polisi umum persatuan. Tetapi kadang-kadang cara yang murni ini juga tidak berkesan secara berpanjangan. Bukankah kita sering melihat ahli mana-mana organisasi tidak menyempurnakan tugasannya yang dia terima hasil mesyuarat?

7. Ada satu faktor yang kadang-kadang tidak dilihat oleh sebahagian pemimpin tetapi amat penting dan menjadi perhatian anggota. Ia adalah qudwah dari pemimpin itu sendiri. Ahli atau pengikut di bawah akan sentiasa memerhatikan pimpinan mereka dan akan terkesan dengan apa yang dilihat dari kepimpinan melebihi apa yang diucapkan oleh kepimpinan.

8. Selalu kita dengar permisalan yang mengatakan: “Tindakan seorang manusia di hadapan 1,000 orang lebih besar kesannya dari kata-kata 1,000 orang kepada seorang manusia.”

9. Jika pemimpin organisasi dakwah mengambil pendekatan ini, mereka akan lebih menumpukan kepada aspek penonjolan perlakuan dan tindakan amali dari dirinya melebihi dari pendekatan mengeluarkan arahan dan perintah kepada ahli dan anggota di bawahnya.

Menggunakan qarar (arahan dan perintah) untuk menggerakkan amal dakwah hanya dilakukan oleh pimpinan yang lemah.

10. Leftenan Jeneral Saadudin Muhammad Husaini al-Sazali (1922-2011) adalah seorang idola tentera di dalam dunia Arab, merupakan kepala kepada operasi meruntuhkan kubu Bar Lev yang dianggap mustahil ketika itu. Salah satu tabiatnya adalah dia suka bergaul dengan orang bawahannya sehingga kadang-kadang tidak dapat dibezakan di antara dia sebagai pimpinan tinggi tentera dan tentera biasa. Banyak operasi luar biasa yang dipimpinnya di dalam sejarah perang Arab-Israel. Dia pernah berkata:

“Tidak pernah ada tentera atau pegawai tentera mengadu kepadaku kepayahan yang mereka hadapi. Ini kerana mereka melihat dengan mata mereka bagaimana aku hidup dan turut serta di dalam hidup mereka.”

bersambung ….

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

 

 

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button