Berita Utama

Media Cina mula ‘mewirakan’ UMANY, burukkan PDRM

Biadab! Siasat Wong Yan Ke tuduh tindakan polis keterlaluan

BANGI, 28 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Belum reda kenyataan kontroversi yang dibuat Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (UMANY) terhadap Yang di-Pertuan Agong Oktober lalu, persatuan itu kemudian mengkritik pula Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menerusi satu video yang dimuat naik Pocketimes, bekas Presiden UMANY, Wong Yan Ke mendakwa tindakan polis menangkapnya sebagai keterlaluan, tidak berasas serta berkemungkinan wujud salah guna kuasa.

Yan Ke mendakwa, polis menangkapnya di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas polis dan kemudian diubah kepada Seksyen 18 Kanun Keseksaan ekoran ingkar arahan penjawat awam.

“Perubahan tiba-tiba ini membuktikan dakwaan pihak polis sebelum ini adalah tidak berasas sama sekali.

“Tindakan polis menangkap dan menahan saya adalah keterlaluan dan kemungkinan ada unsur salah guna kuasa,” katanya.

Dalam video berdurasi lebih dua minit itu, Yan Ke turut menafikan kononnya dia tidak menganggu tugas polis dan mengingkari perintah penjawat awam.

“Sebelum ini, ketua polis menyatakan merakam anggota polis sedang bertugas adalah dianggap satu kesalahan kerana menimbulkan fitnah.

“Jadi saya segala hormatnya mengingatkan Ketua Polis Negara, jika polis tidak menyalah guna kuasa anda tidak perlu risau dengan kamera milik rakyat,” dakwanya.

Menyifatkan tuduhan Yan Ke itu biadab, Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin menggesa, pihak berkuasa menyiasat dan tidak membiarkan tindakan melampau ahli persatuan dipercayai pro-DAP terbabit berpanjangan.

Beliau turut menyelar peranan media berbahasa Cina yang mula menjalankan tugas ‘mewirakan’ Yan Ke.

“Media ini cuba memperlihatkan bahawa PDRM nampak jahat, manakala budak-budak cauvinis ini kelihatan baik, beradab dan berbudi bahasa.

“Siasat dan jangan biarkan kebiadaban ini berpanjangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button