Berita Utama

MPKK syor wujud kerangka kerja pemerkasaan TVET-Tahfiz

Galak penglibatan lebih ramai individu dalam kemahiran Islamik

PUTRAJAYA, 28 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (MPKK) mencadangkan agar Kementerian Sumber Manusia mewujudkan Kerangka Kerja Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)-Tahfiz, bagi menggalakkan penglibatan lebih ramai individu dalam kemahiran berteraskan Islamik.

Timbalan Menterinya Awang Hashim berkata cadangan itu dibuat pada mesyuarat majlis berkenaan semalam yang turut memutuskan agar bilangan pusat bertauliah yang melaksanakan program kemahiran berteraskan Islam ditambah supaya berpadanan dengan bilangan pusat tahfiz di seluruh Malaysia.

Beliau berkata hingga 31 Okt lepas, sebanyak sembilan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) berkaitan Pengurusan dan Pengajaran Tahfiz serta Pengurusan Masjid telah dibangunkan dan latihan kemahiran bagi NOSS telah dilaksanakan di 22 pusat bertauliah di seluruh Malaysia.

“NOSS ini akan dilaksanakan menerusi platform latihan kemahiran di pusat bertauliah Sistem Latihan Program Bertauliah (SlaPB) dan juga latihan kemahiran secara Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya mesyuarat itu turut memutuskan Dokumen NOSS dijadikan sebagai rujukan utama kepada penyedia latihan kemahiran dalam membangunkan kurikulum latihan kemahiran bagi melahirkan pekerja berkemahiran.

Beliau berkata Dokumen NOSS itu merangkumi 14 NOSS baharu dan 19 NOSS yang dikaji semula dibangunkan berdasarkan kompetensi yang diperlukan oleh industri. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button