Berita Utama

Restoran terkenal jual mi kari guna daging babi?

KPDNHEP turut serbu cawangan restoran di Sepang, Kajang, Gombak

SHAH ALAM, 28 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Sebuah restoran terkenal, di Subang Jaya diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, semalam kerana disyaki menggunakan bahan mentah tidak halal dalam mi kari yang dijual.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, serbuan dibuat susulan penularan sebuah rakaman video dalam media sosial yang mendakwa restoran terbabit menyajikan mi kari disyaki mengandungi daging babi.

Berikutan itu, sepasukan anggota penguat kuasa KPDNHEP Selangor menjalankan pemeriksaan lanjut di premis makanan yang terletak di Subang Jaya itu kira-kira jam 11 pagi semalam.

“Hasil pemeriksaan lanjut di bahagian dapur restoran, anggota menemukan bahan mentah digunakan dalam penyediaan menu mi kari untuk pelanggan.

“Ketika ditanya anggota, pengurus restoran itu menafikan bahan terbabit adalah daging babi, sebaliknya mendakwa ia daging ayam yang diperap dengan perencah barbeku.

“Bahan mentah utama itu disita bagi tujuan ujian makmal dan keterangan oleh pakar. Pengurus itu juga mendakwa bekalan bahan mentah itu dipesan oleh pihak ibu pejabat syarikat restoran terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pemeriksaan sama terhadap cawangan restoran berkenaan turut dijalankan oleh pejabat KPDNHEP Cawangan Sepang, Kajang dan Gombak membabitkan seramai 15 anggota.

Dalam pada itu, beliau berkata, premis itu memiliki sijil halal dari Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) yang masih dalam tempoh sah hingga 30 November ini.

Namun, dalam serbuan tersebut, KPDNHEP Selangor turut menyita Sijil Halal Jakim itu serta dokumen penghantaran bahan mentah oleh pembekal.

Muhamad Zikril berkata, kes disiasat mengikut Perintah 3(1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011, iaitu apabila suatu makanan atau barang-barang diperihalkan sebagai halal atau diperihalkan dengan apa-apa ungkapan lain untuk menunjukkan makanan atau barang-barang itu boleh dimakan atau digunakan oleh orang Islam.

“Ia bermaksud, makanan atau barang-barang itu bukanlah dan tidaklah terdiri daripada atau mengandungi apa-apa bahagian atau benda daripada binatang yang dilarang oleh hukum syarak bagi orang Islam untuk memakannya atau yang tidak disembelih mengikut hukum syarak.

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda seperti bawah Perintah 5 Perintah Perihal Dagangan 2011,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button