Berita Utama

Tragedi ‘mi kari babi’ patut sedarkan umat Islam kepentingan BMF

Kenapa KPDNHEP tidak dedah nama restoran terkenal tersebut?

BANGI, 28 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Kejadian sebuah restoran terkenal didakwa menyajikan mi kari menggunakan daging babi sepatutnya menyedarkan umat Islam tentang kepentingan menyokong agenda Beli Produk Muslim (BMF). 

Bukan mahu mengajak untuk memboikot, namun sebagai umat yang berpegang teguh kepada amalan agama wajar memastikan makanan yang dihadam halal lagi bersih.

Berikutan itu, Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Cikgu Izzat Johari mengajak, jutaan umat Islam di negara ini untuk berfikir sejenak dan mula mengutamakan perniagaan milik muslim.

“Makanlah di kedai-kedai makan milik muslim. Membelilah di kedai runcit muslim. Pilihan di tangan anda semua,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menyerbu beberapa cawangan restoran terkenal di Subang Jaya, Sepang, Kajang dan Gombak.

Tindakan itu susulan tular sebuah rakaman video di media sosial yang mendakwa restoran di cawangan Subang Jaya menyajikan mi kari disyaki mengandungi babi.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, pihaknya menyita Sijil Halal Jakim – yang masih dalam tempoh sah hingga 30 November ini – serta dokumen penghantaran bahan mentah oleh pembekal.

Dalam pada itu, Izzat mempersoalkan, mengapa KPDNHEP tidak mendedahkan nama restoran berkenaan walaupun sudah tular di media sosial.

Katanya, tindakan itu amat dikesali dan mencetuskan kebimbangan perkara sama berulang kembali pada masa hadapan meskipun KPDNHEP sudah menyiasat restoran terbabit.

“Saya mungkin akan lakukan lawatan kerja ke KPDNHEP untuk bertanya beberapa kes dan status siasatan ke atas kilang kicap, kilang mi dan restoran popular ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button