Berita Utama

UNSC perlu jujur tangani konflik Palestin- Israel

Bagi pastikan keamanan, keselamatan berterusan di rantau itu

KUALA LUMPUR, 28 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) perlu jujur memainkan peranannya sebagai orang tengah ​​kepada pihak terbabit dalam kancah konflik Israel-Palestin bagi memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan yang berterusan di rantau itu, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perkara itu disuarakan perdana menteri pada Sidang Kemuncak Asia Timur ke-15 hari ini, yang menyeru masyarakat antarabangsa, terutama PBB memikul tanggungjawab penuh berdasarkan piagamnya dalam menyelesaikan konflik.

“Malaysia teguh menentang penindasan terhadap rakyat Palestin dan kekal mendukung perjuangan rakyatnya.

“Sokongan dan pendirian kami tidak berubah. Satu-satunya jalan keluar kepada konflik Israel-Palestin adalah melalui penyelesaian dua negara,” katanya pada sidang kemuncak itu, yang diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-37.

Perdana menteri mengetuai delegasi Malaysia pada sidang kemuncak dwitahunan itu, berlangsung sehingga Ahad.

Diadakan secara maya ekoran COVID-19, sidang kemuncak itu dipengerusikan Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc selaku pengerusi ASEAN.

EAS terdiri 10 negara anggota ASEAN, Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button