Berita Utama

Wilayah bebas niaga disaran diperluaskan ke seluruh negara

Peluang buka gerai atau perniagaan perlu dimanfaat sebaiknya

KUALA LUMPUR, 28 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Yayasan Pembangunan Ekonomi Malaysia (YaPEIM) menyarankan agar inisiatif Wilayah Bebas Berniaga yang bermula esok di kawasan Wilayah Persekutuan diperluaskan konsepnya ke semua negeri di Malaysia.

Pengerusi YaPEIM Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata inisiatif itu merupakan peluang baik buat warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan untuk membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan dan memanfaatkan kebenaran diberikan sebaik mungkin.

“Pelaksanaan seumpama ini seharusnya dilaksanakan di semua negeri di Malaysia, selagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan memastikan kebersihan”, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mengumumkan kebenaran kepada warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, untuk membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan yang sesuai, mulai esok.

Peniaga bagaimanapun disyaratkan untuk memohon lesen perniagaan sementara yang sah selama enam bulan di laman web Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang ditawarkan secara percuma.

Sementara itu, Mohd Redza berkata YaPEIM menerusi Ar- Rahnu YaPEIM juga memberikan sokongan dalam bentuk pembiayaan berasaskan emas kepada mereka yang terkesan akibat COVID-19.

“Malah, YaPEIM sentiasa membuka pintu bagi membantu mereka yang terkesan terutamanya kehilangan pendapatan dengan menawarkan platform jualan secara atas talian menerusi CMASA.my sekali gus menjadi pilihan tambahan selain pembukaan gerai.

“YaPEIM berharap agar masyarakat menggunakan peluang diberikan sebaiknya dalam usaha bersama-sama memperkasakan sektor ekonomi khususnya industri tempatan sekali gus melonjak pertumbuhan ekonomi negara amnya,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button