Berita UtamaDunia

10 maut hospital terbakar

Tujuh kritikal termasuk doktor bertugas melecur 40 peratus

BUCHAREST, 29 Rabiulawal 1442H, Ahad – Sekurang-kurangnya sepuluh maut dalam kebakaran di hospital Romania yang merawat pesakit coronavirus, kata agensi negara bagi situasi kecemasan (ISU).

Kebakaran itu berlaku di sebuah unit rawatan rapi (ICU) hospital daerah Piatra Neamt dan merebak ke bilik bersebelahan.

Menurut pegawai, tujuh yang lain dalam keadaan kritikal, termasuk doktor yang bertugas.

Menteri Kesihatan, Nelu Tataru memaklumkan bahawa enam pesakit yang terselamat akan dipindahkan ke hospital COVID-19 di bandar Iasi, Romania timur.

“Sementara, doktor yang cedera – melecur 40 peratus tubuhnya – akan dipindahkan ke sebuah hospital di ibu kota Bucharest.

“Dalam perundangan pada masa depan, semua hospital awam akan diselaraskan oleh Kementerian Kesihatan,” kata Tataru tanpa memberi penjelasan lanjut.

Ketika ini, hospital tempatan dikendalikan oleh majlis daerah, menjadikan pengawasan keseluruhan sistem kesihatan sukar.

Tataru berkata, hospital Piatra Neamt akan terus menjalankan unit rawatan rapi di tingkat yang berasingan.

Punca kejadian masih belum jelas dan pendakwa raya sudah membuka siasatan berhubung tragedi itu.

Kejadian semalam adalah kebakaran maut paling teruk di Romania sejak Oktober 2015.

Romania – yang mempunyai salah satu infrastruktur kesihatan yang paling kurang maju di Kesatuan Eropah – telah melaporkan 353,185 kes COVID-19 dan 8,813 kematian.

Hanya di bawah 13,000 orang dengan COVID-19 berada di hospital di seluruh Romania pada hari Sabtu, termasuk 1,172 di ICU. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button