Berita Utama

Bagaimana cara AS kuasai dunia melalui Biden?

Jangkaan awal Biden mungkin mengikut jejak langkah Obama

BANGI, 29 Rabiulawal 1442H, Ahad – Perkara terawal yang dijangka menjadi agenda pentadbiran Joe Biden adalah membetulkan kembali dasar-dasar luar Amerika Syarikat (AS) yang bercelaru ketika Donald Trump mentadbir serta akibat pandemik COVID-19.

Tindakan eratik Trump menerusi dasar luar AS dan kegagalannya menangani COVID-19 dikatakan antara modal Biden dalam menewaskannya, maka sudah pasti hal itu akan menjadi cabaran awal kepada kepimpinannya.

Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, dengan Senat AS yang masih lagi dikuasai Republikan, kejayaan dan kegagalan Biden mungkin banyak bergantung kepada sejauh mana beliau dapat mengawalnya dengan baik dan berkesan.

“Seperti pemerhati politik yang lain, tumpuan terhadap kepimpinan Biden mungkin mahu dilihat kepada sejauh mana beliau mampu untuk memperbaharui demokrasi dan hubungan dengan sekutu rapatnya, melindungi kepentingan ekonomi.

“… dan politik pada peringkat antarabangsa dan yang lebih serius, mengembalikan AS sebagai adikuasa yang memimpin dunia,” katanya menulis di Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Mujibu berkata, dengan janji untuk memperbaiki dan menghidupkan kembali kerjasama erat bersama sekutu rapatnya, Biden juga meletakkan rejuvenasi kolektif demokrasi AS sebagai tonggak utama dalam membentuk kekuatan dan keupayaan pengaruh global AS.

Bacaan awal memperlihatkan Biden mungkin akan mengikut jejak Obama dalam hal tersebut, katanya.

Bahkan Biden dijangka menggunakan pendekatan institusi dan patuh peraturan berbanding Trump yang radikal dan di luar peraturan.

“Walaupun Trump lebih berterus-terang dalam dasar luarnya, Biden juga mungkin cenderung berbuat begitu, setidak-tidaknya kepada China.

“Ia jelas dalam janjinya yang mahukan pendekatan lebih tegas dan sering menyifatkan China sebagai ‘sebuah cabaran khas’ buat AS.

“Umum mengetahui menguasai dunia adalah matlamat utama AS sebagai adikuasa dunia yang tidak pernah berubah selepas Perang Dunia Kedua.

“Justeru, bagaimana pula cara AS cuba menguasai dunia di tangan Biden kelak? Dan, apakah pula impaknya kepada kita? Hanya masa yang menentukan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button