Berita Utama

BERJASA terbuka bincang isu Melayu, Islam dengan mana-mana parti

Perbalahan antara parti tidak beri manfaat pada rakyat

JOHOR BAHRU, 29 Rabiulawal 1442H, Ahad – Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) terbuka dan bersedia dalam apa jua perbincangan bersama parti politik lain khususnya berkaitan kedudukan Melayu dan Islam.

Perkara itu disuarakan dalam delegasi diketuai Setiausaha Agung BERJASA, Haji Aziz Sardan ke Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Johor, di Kempas Utama.

Turut sama dalam sesi lawatan tersebut ialah Ketua Perhubungan BERJASA Negeri Johor, Tuan Izzul Hafizzudin Mohd Solehuddin serta ahli jawatankuasa parti berkenaan.

Lawatan itu disambut baik oleh Setiausaha BERSATU Negeri Johor merangkap Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Dalam lawatan itu, peluang diambil bagi memperkenalkan barisan kepimpinan parti serta wajah baru BERJASA yang dilancarkan pada 12 September lepas.

BERJASA turut mendengar pandangan yang diberikan oleh Sahruddin berkaitan situasi politik semasa termasuk situasi di Johor.

“BERJASA juga telah menyuarakan sikap keterbukaan parti yang sentiasa membuka ruang perbincangan dan keterlibatan secara lebih menyeluruh.

“Sebagai salah satu parti yang membentuk kerajaan hari ini, diharapkan BERSATU dapat mengutamakan masa depan Melayu dan Islam.

“Kita tidak mahu perpecahan dan perbalahan di antara parti-parti Melayu tidak memberikan apa-apa manfaat kepada rakyat,” katanya.

Pada masa sama, BERJASA yakin kerajaan memerlukan sokongan semua pihak dalam memutuskan rantaian penularan COVID-19.

“D samping terus fokus membantu mengembalikan semula prestasi ekonomi dan membantu rakyat yang terkesan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button