Berita Utama

Ceroboh 18 hektar tanah, adakah mereka ada ‘backup’ besar?

Bimbang wujud campur tangan politikus seperti kes di Raub

BANGI, 29 Rabiulawal 1442H, Ahad – Aktiviti penerokaan secara haram kawasan Hutan Simpan Lesong seluas 18 hektar bagi mengusahakan tanaman durian Musang King, di Rompin bukan satu kebetulan.

Difahamkan, kegiatan berskala besar itu dilakukan di Kompartmen 74 dan 75 membabitkan penggunaan pelbagai jentera berat untuk membersih dan meratakan kawasan selain aktiviti menanam pokok.

Selain Musang King, pihak terbabit turut menanam pokok durian belanda, nangka dan kelapa, mereka juga turut membina stor simpanan barangan dan pejabat dalam kawasan itu.

Memetik laporan berkenaan, Presiden gerakan Islam, Haji Aminuddin Yahaya menyifatkan aktiviti haram pihak terbabit bukanlah secara sembunyi atau curi-curi, tetapi sudah seperti ‘level’ menjarah tanah.

“Lebih menarik lagi, pihak pejabat hutan daerah sudah memberikan lima kali amaran sebelum ini. Lima kali amaran bukannya sedikit, dan itu pun tidak menggerunkan mereka.

“Sepatutnya sekali amaran sahaja sudah cukup, dan terus ambil tindakan. Apakah ada ‘backup’ besar yang membuatkan mereka begitu berani dan rasa kebal?,” soalnya menerusi kenyataan hari ini.

Bimbang campur tangan politikus seperti yang berlaku kes percerobohan tanah haram di Raub kembali berulang, beliau menggesa kerajaan negeri bertegas.

Beliau percaya mereka akan membuka lebih luas kawasan tanaman durian Musang King kerana jentolak masih melakukan kerja pembersihan hutan.

Bahkan, banyak benih durian yang belum ditanam dan disimpan di tapak semaian.

Jika dibiarkan lagi lama, entah berapa hektar lagi akan dijarah.

“Syabas kepada pegawai-pegawai yang berani membuat serbuan ini.

“Saya pasti ini bukannya noktah bagi penceroboh ini kerana tidak mustahil ‘modus operandi Raub’ bakal diulang di mana akan wujud campur tangan politikus-politikus yang hadir kononnya membela ‘pekebun yang tertindas’.

“Sebab itulah kes Raub sebelum ini sangat penting untuk kerajaan negeri bertegas. Selepas ini kita tidak tahu hutan mana, di daerah mana pula akan ‘dicuri’,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button