PKPD Medan 88: 29 penduduk serah diri buat ujian saringan COVID-19
400 orang tak pulang sejurus dapat tahu kawasan dipasang kawad duri

SEPANG, 29 Rabiulawal 1442H, Ahad – Seramai 29 penduduk Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi, yang tidak pulang ke kediaman masing-masing sejurus mendapat maklumat kawasan itu akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), telah tampil menyerah diri.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, 13 orang menyerah diri pada Khamis lepas, dan 11 menyerah diri pada Jumaat.
“Semalam, tiga orang lagi yang juga merupakan rakyat tempatan berasal dari Sabah, pulang untuk menjalani saringan COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, setakat ini enam warga Indonesia, tiga warga Thailand, masing-masing seorang dari Myanmar, India dan Nepal, manakala selebihnya rakyat tempatan sudah pulang ke Medan 88.
Sementara itu Wan Kamarul Azran berkata, sejak pelaksanaan PKPD di kawasan itu, 324 penduduk Medan 88 sudahpun menjalani ujian calitan dan daripada jumlah itu, empat daripada mereka didapati positif COVID-19.
Khamis lepas, media melaporkan kira-kira 400 penduduk Medan 88 tidak pulang ke kediaman masing-masing, selepas mendapat maklumat kawasan itu dipasang kawad duri untuk pelaksanaan PKPD berkuatkuasa semalam sehingga 25 November ini. -Bernama