Pendapat

Pengajaran dari Taman Tiger Balm

Pemerintah berjiwa rakyat mesti arif mengenai aliran dalam ekonomi

PADA awal tahun 80-an, sewaktu usia remaja, saya telah mengunjungi Taman Tiger Balm di Singapura. Di situ terdapat patung-patung kecil hasil seni dari tanah liat yang memaparkan gambaran penyeksaan hukuman di neraka bagi mereka yang telah melakukan pelbagai kejahatan, ketidakadilan, kerosakan moral dan sebagainya. Salah satu daripadanya mempamerkan keadaan di mana seorang pemungut cukai bagi pihak pemerintah yang zalim dengan secara paksa telah mengambil satu-satunya harta milik seorang petani miskin, iaitu seekor babi, tanpa mempunyai perasaan belas kasihan ataupun mempedulikan rayuan daripada petani tersebut.

Sebagai seorang yang telah terlatih di dalam bidang ekonomi, saya terkenang kembali paparan-paparan tersebut dan terfikir bahawa peristiwa seperti yang dipaparkan itu akan sendirinya menyumbang kepada kejatuhan sesuatu pemerintahan zalim seperti itu. Ini kerana pada tahun-tahun berikutnya, pemungut cukai tidak akan dapat mengumpul cukai yang sepatutnya dari ekonomi yang telah hancur. Sudah tentunya semangat yang luluh dan kemarahan rakyat yang meningkat akan membuka pintu kepada kuasa-kuasa luar untuk ‘menyerang’ dan menggantikan pemerintahan yang zalim seperti itu.

Oleh yang demikian, seorang pemimpin atau pemerintah yang berjiwa rakyat mesti arif mengenai aliran di dalam ekonomi, terutamanya aliran ekonomi sebenar. Ekonomi sebenarlah yang menghasilkan barangan dan perkhidmatan yang mana melaluinya rakyat menikmati taraf hidup yang baik serta membekalkan dana supaya pemerintah dapat melaksanakan tugas mereka dengan baik. Sektor kewangan sepatutnya menangani ekonomi sebenar, khususnya dengan membekalkan kecairan yang diperlukan, agar ekonomi sebenar berfungsi dengan sebaik-baiknya. Ekonomi sebenar yang berjalan dengan baik pula akan memberikan hasil cukai yang lumayan kepada kerajaan sambil memberi ganjaran yang baik kepada sektor kewangan.

Tetapi malangnya sistem kewangan sedia ada (ekonomi berasaskan riba’) telah menduduki kedudukan teratas di dalam sektor ekonomi hinggakan ekonomi sebenar telah tunduk kepadanya. Sebab itulah walaupun tahun 2020 merupakan tahun pandemik COVID-19 yang telah menghancurkan sejumlah besar perniagaan, akan tetapi pengerusi dan pengarah bank-bank swasta telah mengaut dividen yang amat lumayan, hinggakan ada di antaranya berjumlah ratusan juta ringgit. Kerajaan pula anehnya ‘merungut’ sudah ketandusan dana.

Berbalik kepada aliran ekonomi sebenar, semasa MCO pertama dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia pada tahun 2020, moratorium pinjaman yang diberikan kepada ekonomi sebenar dan pakej rangsangan yang disertakan memang merupakan satu langkah terpuji yang memastikan ekonomi sebenar dapat terus berfungsi, walaupun pada kadar yang lebih rendah. Namun, MCO 3 yang telah dikuatkuasakan baru-baru ini, tidak pula disertakan dengan pakej moratorium automatik ataupun pakej rangsangan. Tanpa bantuan sedemikian ekonomi sebenar boleh menjadi hancur, bergantung kepada berapa lama tempoh MCO tersebut dilaksanakan. Sepatutnya, apabila ekonomi sebenar dilanda malapetaka secara menyeluruh, seperti yang telah terjadi disebabkan pandemik COVID-19, bantuan mestilah diberikan kepada ekonomi sebenar supaya ianya dapat terus ‘hidup’, terutamanya dari segi fleksibiliti terhadap komitmen aliran tunai yang wajib seperti sewa, bayaran-balik pinjaman, tunggakan cukai dan sebagainya.

Sektor awam juga sepatutnya mengambil potongan gaji agar berpadanan dengan gangguan kepada aliran di dalam ekonomi sebenar. Jika tidak, dengan hasil cukai yang semakin berkurangan, kerajaan pastinya tidak akan memiliki dana yang cukup untuk memenuhi perbelanjaan fiskalnya, sehingga terpaksa membuat pinjaman selanjutnya dan terpaksa membuat pengeluaran dari simpanan rizab negara. Lebih malang lagi apabila mengintimidasikan pula ekonomi sebenar yang sedang tenat menderita dengan pelbagai bayaran dan denda walaupun untuk kesalahan-kesalahan kecil. Keadaan seperti itu sudah tentunya tidak mampan.

Tidakkah keadaan sebegini mengingatkan kita tentang gambaran di Taman Tiger Balm, di mana pemerintah hanya mengambil dari rakyat tanpa memberi jalan keluar dari kemelut ekonomi? Sekiranya tidak berhati-hati, ianya pasti akan berakhir dengan penggantian pemerintah oleh rakyat untuk mencari jalan keluar yang lebih sesuai dan mampan.

Pada pendapat saya, Malaysia memerlukan nafas baru dalam pemerintahan yakni pemerintahan yang faham sedalamnya keburukan sistem monetari dan sistem ekonomi yang diamali tanpa soal selama ini, selain daripada pembaharuan komprehensif dalam bidang pendidikan, politik, pentadbiran kerajaan dan ketelusan, sekiranya kita ingin mara kehadapan sebagai sebuah negara yang berdaulat.

Prof Ahamed Kameel Mydin Meera
Gerakan Keadilan Monetari Malaysia

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button