Berita Utama

Syariat Islam tak tindas bukan muslim

Umat wajar pertahan jawatan babitkan hal keagamaan

BANGI, 29 Rabiulawal 1442H, Ahad – Mempertahankan kedaulatan negara adalah ibadah, justeru wajar orang Islam memegang jawatan penting seperti Ketua negara serta Ketua Angkatan Tentera.

Bagaimanapun, orang bukan Islam tidak dilarang bersama-sama muslim berjuang mempertahankan kedaulatan negara dengan menjawat jawatan dalam kerajaan Islam – selain jawatan yang melibatkan hal keagamaan.

Meskipun begitu, Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar menegaskan, orang bukan Islam tidak boleh dipaksa menjadi askar dalam sebuah negara Islam.

“Sejarah telah membuktikan bahawa Islam disebarkan bukan melalui mata pedang tetapi kerana keindahan dan keadilan Islam yang menambat hati orang bukan Islam memeluk Islam.

“Orang bukan Islam juga bebas menjawat jawatan dalam kerajaan Islam, selain jawatan yang melibatkan hal keagamaan seperti Ketua Negara, Ketua Angkatan Tentera, Ketua Hakim dan sebagainya yang mana jawatan itu akan melibatkan urusan agama.

“Dalam urusan lain tiada halangan bagi orang bukan Islam menyandang jawatan kerajaan tersebut,” katanya menulis di Sinar Harian hari ini.

Dalam hal muamalah pula, Zainul Rijal menegaskan, orang bukan Islam mempunyai hak yang tidak boleh disangkal untuk bekerja, berniaga dan mendapat untung.

Ia boleh dilakukan dengan berkongsi sesama mereka atau dengan orang Islam atau bekerja secara sendirian.

Katanya, keadaan mereka dari aspek itu langsung tidak berbeza dengan keadaan orang Islam yang diberi peluang menjalankan aktiviti ekonomi dan perdagangan bagi memajukan diri masing-masing.

“Dalam Islam, muslim dan orang bukan Islam perlu bersaing demi untuk memajukan diri mereka sendiri.

“Orang bukan Islam tidak ditindas dalam mencari kekayaan dan ia memberi peluang kepada semua rakyat bersaing dalam keadaan yang memberi keadilan kepada semua pihak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, syariat Islam telah memperuntukkan hak-hak asasi yang jelas bagi orang bukan Islam dan kebebasan itu dijamin pemerintah Islam.

Justeru katanya, menjadi kesalahan bagi umat Islam jika mereka melanggar atau mengugut untuk melanggar hak asasi orang bukan Islam.

“Dari aspek itu sebenarnya syariat Islam dilihat lebih melindungi hak orang bukan Islam berbanding mana-mana agama lain di dunia.

“Syariat Islam sebenarnya sentiasa memihak kepada orang yang dizalimi atau dicerobohi biarpun mereka orang bukan Islam.

“Pembelaan akan diberikan kepada mereka tanpa mengambil kira faktor keagamaan tersebut, hatta pemerintah Islam yang zalim terhadap rakyat bukan Islam pun boleh diambil tindakan kerana kezaliman yang dilakukan oleh mereka,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button