
GAZA, 29 Rabiulawal 1442H, Ahad – Pesawat perang rejim pengganas Israel melakukan serangan udara di sebuah pos di Timur Kota Rafah, Semenanjung Gaza diduduki pada malam serta awal pagi tadi.
Serangan menggunakan kira-kira dua peluru berpandu berkenaan mengakibatkan kerosakan harta benda dan kebakaran, namun tiada kematian dilaporkan, menurut agensi berita WAFA.
Pada masa sama, pesawat perang rejim Zionis turut bertindak mengebom sebuah ladang di kota Rafah, berhampiran sempadan Mesir turut mengakibatkan pemusnahan ladang serta kemudahan kediaman penduduk, namun tiada angka maut dilaporkan.
Bukan itu sahaja, pesawat perang juga menyerang sebuah pos di Tenggara Bandar Khan Younis, dekat Selatan Semenanjung Gaza, mengakibatkan kerosakan harta benda.
Sementara itu, kereta kebal Israel yang ditempatkan di sepajang pagar yang mengelilingi Semenanjung Gaza telah mengebom tanah pertanian berhampiran kawasan kejiran Al-Zaytoun, berdekatan bandar Beit Hanoun, di Utara Semenanjung Gaza.
Tiada kematian dicatatkan namun terdapat kerosakan harta benda di lokasi kejadian. -Agensi