Berita Utama

120.67 hektar tanah di Jerantut dilulus untuk tanaman Musang King

Perlu patuhi syarat sebelum, semasa, selepas dapat kelulusan

KUANTAN, 30 Rabiulawal 1442H, Isnin – Sebanyak 120.67 hektar tanah di Mukim Tembeling dan Mukim Ulu Cheka, di Jerantut kira-kira 162 kilometer dari sini, telah diluluskan untuk projek tanaman durian Musang King, setakat 20 Oktober lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknolgi Pahang Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak berkata projek pertanian yang diluluskan itu tertakluk kepada syarat yang perlu dipatuhi bagi tempoh sebelum, semasa dan selepas mendapat kelulusan.

“Bagi memastikan projek yang diluluskan tidak mendatangkan kesan kepada alam sekitar, pihak syarikat yang mendapat kelulusan perlu menyediakan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) seperti disyaratkan Jabatan Alam Sekitar.

“Pemantauan secara berkala juga dilaksanakan oleh agensi terlibat untuk memastikan semua syarat dipatuhi selain garis panduan bagi penanaman durian di cerun juga dikeluarkan oleh jabatan berkaitan,” katanya.

Mohd Soffi berkata demikian pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini, bagi menjawab soalan Zuridan Mohd Daud (PAS-Damak) yang ingin tahu keluasan tanah yang diluluskan untuk projek tanaman itu di Jerantut.

Beliau juga memaklumkan, selain permohonan yang telah diluluskan, terdapat syarikat yang membuat permohonan untuk mendapatkan kelulusan menanam durian daripada tanaman asal iaitu kelapa sawit di kawasan Ulu Cheka. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button