Dunia

Mesir akan halang konflik Israel-Palestin pada Ramadan

Serangan di Tebing Barat boleh cetus perang di Gaza

KAHERAH, 20 Rejab 1444H, Sabtu – Mesir meneruskan peranannya sebagai orang tengah dalam usaha mengurangkan keganasan di Baitulmaqdis, Tebing Barat serta Semenanjung Gaza menjelang bulan Ramadan.

Minggu ini, Kaherah menjadi tuan rumah kepada pemimpin Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) dan kumpulan bersekutu, Jihad Islam Palestin (PIJ).

Menurut jurucakap Mesir, rundingan dengan wakil Israel telah diadakan lebih awal.

Keganasan di Tebing Barat meningkat tahun lalu, apabila Israel mempergiatkan serbuan berikutan beberapa siri serangan jalanan Palestin yang membawa maut di bandar-bandar Israel.

Ia terus meningkat sejak kerajaan baharu Israel mengangkat sumpah pada 29 Disember lalu.

Pegawai Mesir mendakwa, Kaherah percaya keadaan itu boleh terus tidak terkawal, apatah lagi menjelang Ramadan apabila rejim Israel mengetatkan kawalan terhadap akses ke atas Baitulmaqdis.

Mesir mahu Amerika Syarikat (AS) merayu kepada Israel untuk membantu mengekang peningkatan keganasan, sementara Mesir berperanan bagi pihak Palestin, berikutan PIJ yang menolak hubungan langsung dengan Tel Aviv.

“Berbanding sebelumnya, rakyat Mesir bimbang terhadap kemungkinan konfrontasi bersenjata pada 2023 kerana mereka sedar, sukar untuk menghalang tindakan beberapa menteri kerajaan pelampau baharu Israel.

“Mesir memahami bahawa jika keadaan tercetus di Tebing Barat, ia juga akan mengheret ketegangan itu ke Semenanjung Gaza,” kata pegawai Palestin.

Kali terakhir pengganas Israel berperang selama 56 jam di Gaza pada Ogos 2022 menentang PIJ, dan tahun sebelumnya pertempuran dengan Hamas.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button