Berita Utama

BERJASA tekad terus lantang bersuara demi Islam, Melayu

Pegang prinsip politik berintegriti, tolak pendekatan populis

BANGI, 30 Rabiulawal 1442H, Isnin – Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) bertekad untuk terus lantang bersuara khusus melibatkan isu Islam dan orang Melayu.

Malah, parti tersebut juga terbuka mengadakan perbincangan dengan mana-mana blok politik termasuk pembangkang asalkan ia mendatangkan kebaikan kepada watan.

Presidennya, Datuk Dr Ir Badrulhisham Abdul Aziz menegaskan, BERJASA sentiasa berpegang kepada politik berintegriti dan menolak kepada pendekatan populis.

“Kita akan terus bersuara dan mengemukakan pandangan dan cadangan penyelesaian untuk watan ini terutama isu Melayu dan Islam.

“Kita beramal dengan politik berprinsip…pintu perundingan dan perbincangan dengan parti lain sentiasa terbuka, namun kami punya agenda tersendiri untuk kepentingan rakyat dan negara,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perjumpaan delegasi BERJASA diketuai Setiausaha Agungnya, Haji Aziz Sardan ke Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Johor, di Kempas Utama.

Pada masa sama, Dr Badrulhisham berkata, usaha memperkukuhkan parti kini sedang giat dijalankan dengan memberi keutamaan kepada pembangunan pemimpin muda.

Beliau yang mesra disapa Tok Badh turut mendedahkan, tenaga pakar dan profesional BERJASA juga bekerja keras mengkaji serta merancang pembangunan watan pada masa hadapan terutamanya dalam sektor pendidikan, ekonomi, sains dan teknologi

“Kami terus bekerja untuk mengukuhkan parti terutama sekali membangunkan pemimpin-pemimpin anak muda untuk masa depan.

“Baru-baru ini kami telah keluarkan kerangka Belanjawan Alternatif 2021 sebelum belanjawan negara dibentangkan di Parlimen. Alhamdulillah ia mendapat maklum balas yang amat baik dari pelbagai golongan masyarakat.

“Di samping itu jentera pilihan raya sedang bergerak dengan aktif untuk menghadapi segala kemungkinan PRU (pilihan raya umum) bila-bila masa,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button