Berita Utama

Isu Rohingya: KDN dapatkan data dari UNHCR, Wisma Putra

Didakwa pendatang Rohingya milik kad UNHCR kini lebih 85,000

PUTRAJAYA, 24 Zulhijjah 1441H, Jumaat – Kementerian Dalam Negeri akan mendapatkan maklumat mengenai data pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) di negara ini daripada wakil agensi itu dan Wisma Putra, kata Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata data itu diperlukan untuk membolehkan kerajaan mengkoordinasi usaha dalam menentukan bahawa sesiapa sahaja yang berada di negara ini mempunyai dokumen sah.

“Saya akan memanggil mereka (UNHCR) bersama dengan Wisma Putra untuk memastikan apa sahaja data yang mereka miliki hendaklah mereka serahkan kepada kita,” katanya kepada media di sini ketika mengulas dakwaan lambakan pendatang Rohingya di negara ini yang memiliki kad UNHCR sehingga lebih 85,000 orang.

Terdahulu, Hamzah menghadiri majlis pemakaian bintang pangkat kepada Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu.

Dalam isu berasingan, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata seramai 288 ahli parti itu yang menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad telah terhenti keahliannya secara automatik.

“Kita akan keluarkan senarai nama mereka yang terbabit,” katanya sambil menambah senarai itu akan diserahkan kepada bahagian-bahagian Bersatu.

Beliau berkata mereka tidak lagi boleh menghadiri mesyuarat perwakilan bahagian dan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu boleh mengambil tindakan ‘memotong’ nama mereka dalam senarai calon yang bertanding.

Hamzah juga berkata pihaknya telah menerima lebih 30,000 permohonan untuk menyertai parti itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button