Berita Utama

Kebun haram: PEMBELA hantar memo bantahan ke Pejabat MB

'Akan konsisten bersuara, ingatkan rakyat bahawa isu belum selesai'

BANGI, 30 Rabiulawal 1442H, Isnin – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) akan menyerahkan memorandum bantahan rakyat atas pencerobohan tanah di Pejabat Menteri Besar Pahang pada Rabu ini.

Memorandum tersebut adalah manifestasi kepada kekecewaan terhadap isu pencerobohan tanah milik kerajaan yang sehingga kini masih belum dapat diselesaikan.

PEMBELA juga menegaskan, mereka sama sekali tidak akan tunduk dengan ugutan sehingga kerajaan benar-benar serius memerangi masalah berkenaan.

Malah, tegas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu lagi, campur tangan mana-mana pihak juga tidak akan mengendurkan semangat perjuangan mereka atas nama agama, bangsa dan negara.

“Jika isu ini masih belum selesai atau ada lagi tanah-tanah diceroboh, maka kita akan ada langkah kedua, ketiga, keempat, kelima dan seterusnya sampai kerajaan benar-benar serius memerangi komplot menjarah hasil dengan cara terkutuk sebegini.

“Kita akan konsisten bersuara dan mengingatkan rakyat bahawa isu ini belum selesai walaupun ada yang mengugut atau campur tangan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu, empat lelaki ditahan disyaki terbabit aktiviti penerokaan secara haram kawasan Hutan Simpan Lesong, Rompin – didakwa mengusahakan tanaman durian Musang King.

Kesemua individu itu yang berusia 29 hingga 63 tahun ditahan ketika mereka berada di kawasan Hutan Simpan Lesong seluas 18 hektar.

Dalam operasi Pejabat Hutan Daerah (PHD) Rompin, beberapa jentera berat dan kenderaan pacuan empat roda turut dirampas.

Pegawai PHD, Shairani Mamat tidak menolak kemungkinan penerokaan tanah haram itu dilakukan secara berskala besar berikutan penggunaan pelbagai jentera seperti sebuah jentolak, dua traktor, dua jengkaut, serta tiga kenderaan pacuan empat roda.

Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil apabila pihak terbabit masih lagi berdegil meskipun telah lima kali diberi nasihat dan amaran supaya mereka segera menghentikan kerja-kerja penerokaan, seterusnya meninggalkan Hutan Simpan Lesong.

“Kita sudah beberapa kali beri amaran tetapi mereka tidak peduli, jadi kita terpaksa bertindak tegas dengan melakukan serbuan bagi memastikan pihak berkenaan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button