Kedah perluas ‘kawasan bebas berniaga’ di semua PBT
Beri perhatian jika ada sindiket cuba ambil kesempatan kawal kawasan berniaga

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya mendapat permintaan daripada PBT lain agar kawasan mereka juga dapat berbuat demikian bagi memberi peluang kepada penduduk yang ingin berniaga menjana pendapatan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Kami akan lihat sambutan dalam beberapa hari lagi di lima PBT ini, minggu depan Insya-Allah, kami buka di semua PBT supaya rakyat yang hendak berniaga boleh buat persediaan,” katanya kepada pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Lima PBT berkenaan adalah Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP), Majlis Perbandaran Langkawi (MPL), Majlis Perbandaran Kulim (MPK) dan Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP).
Menurut beliau, ia adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri memberi peluang kepada mereka yang berminat untuk berniaga di mana-mana bahagian kawasan PBT dengan syarat mematuhi garis panduan ditetapkan termasuk mendapatkan suntikan tifoid bagi peniaga makanan.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, PBT juga diingatkan supaya memberi perhatian kepada sindiket yang cuba mengambil kesempatan mengawal kawasan berniaga dengan meletakkan ‘tanda’ di lokasi tertentu.
“Sindiket ini akan letak tanda seperti tong gas dan letak payung menandakan itu kawasan mereka, esok apabila ada orang lain hendak berniaga, dia kata itu tempat dia, kena bayar sewa…jangan benarkan sindiket ini mengambil kesempatan di atas kesempitan dihadapi orang ramai,” katanya.
Beliau meminta PBT memberikan kelonggaran kepada peniaga di kawasan yang difikirkan sesuai menjual makanan termasuk buah-buahan selagi tidak mengganggu lalu lintas dan kebersihan terjaga.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mempertimbangkan permohonan membina 200 menara telekomunikasi di Kedah bagi memastikan capaian internet lebih baik khususnya di kawasan luar bandar. – Bernama