Berita Utama

Kembalikan Akta Antiberita Tidak Benar tumpuan Dewan Rakyat

RUU Kewangan 2020 dijangka dibentang untuk bacaan kali pertama

KUALA LUMPUR, 30 Rabiulawal 1442H, Isnin – Cadangan untuk mengembalikan semula Akta Antiberita Tidak Benar yang telah dimansuhkan sebelum ini, bakal dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, isu itu terkandung dalam sesi soal jawab lisan yang akan diajukan Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia berhubung akta tersebut serta mekanisme dilakukan kementerian bagi membendung masalah penyebaran berita palsu, terutamanya berkaitan pandemik COVID-19.

Selain itu, Dr Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) akan mengajukan soalan kepada Menteri Pengajian Tinggi mengenai status semasa rasionalisasi pejabat-pejabat Education Malaysia di luar negara, manakala Gobind Singh Deo (PH-Puchong) bertanya kepada Menteri Kanan Pendidikan mengenai pelaksanaan pendidikan dalam talian semasa wabak COVID-19 dan keberkesanannya.

Usai sesi itu, Menteri Kewangan akan mengemukakan Rang Undang-undang Kewangan 2020 untuk bacaan kali pertama.

Perbahasan berkaitan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 berkenaan Belanjawan 2021 kemudiannya akan mengambil tempat untuk hari kelima.

Sidang Dewan bermula minggu ini akan berlangsung selama empat jam sehari iaitu mulai 10 pagi hingga 2 petang setiap Isnin hingga Khamis, selain mengehadkan hanya 80 Ahli Parlimen – 41 pihak kerajaan, 39 pembangkang dan Bebas – dibenarkan berada di dalam dewan pada satu-satu masa.

Peraturan itu diperkenalkan sebagai langkah berjaga-jaga berikutan penularan wabak COVID-19.

Menurut takwim Dewan Rakyat, Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 27 hari sehingga 15 Disember. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button