Berita Utama

Malaysia belum bersedia perluas undi pos: SPR

Ada unsur taak percaya terhadap sistem dalam kalangan orang awam

BANGI, 30 Rabiulawal 1442H, Isnin – Kaedah pengundian secara pos kepada semua peringkat pengundi masih belum sedia diperluaskan di Malaysia.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azmi Sharom berkata, hal itu kerana sistem undi pos seperti dilaksanakan Amerika Syarikat (AS) pada pilihan raya presiden baru-baru ini tidak direka untuk skala besar di negara ini.

Bukan itu sahaja, Dr Azmi mendakwa, terdapat unsur ketidakpercayaan terhadap sistem undi pos dalam kalangan orang awam.

Tambahan pula, katanya, sistem berkenaan belum pernah dilaksanakan secara terbuka sebelum ini.

“Jika kita laksanakan undi pos pada skala besar, adakah rakyat akan percayakannya?

“Sedangkan di AS, selepas memperoleh keputusan undian pos pada tempoh lama, masih terdapat tuduhan cubaan menipu walaupun tiada bukti untuk mengesahkannya,” katanya seperti dilapor FMT, hari ini.

Mengulas mengenai saranan segelintir pihak supaya undi pos diperluaskan ke beberapa kumpulan, Dr Azmi berkata, SPR sebelum ini menegaskan bahawa sistem itu tidak akan diperluaskan kepada kategori lain selain senarai dibenarkan ketika ini.

Berdasarkan laman web SPR, tujuh kategori pengundi pos dalam dan luar negara iaitu tentera, polis, petugas media, petugas pilihan raya sementara pengundi di luar negara membabitkan warga Malaysia di luar negara serta pelajar dan penjawat awam di luar negara.

Ketika ditanya penambahbaikan kaedah berkempen sekiranya pilihan raya diadakan ketika pandemik COVID-19 masih memuncak, Dr Azmi berkata, pihaknya masih berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkaitan kaedah terperinci.

Katanya, perkara itu akan dimuktamadkan sebaik sahaja rundingan selesai.

“Sejujurnya saya mahu (SOP berkempen) lebih ketat dilaksanakan,” katanya.

Malaysia dijangka berdepan pilihan raya umum dalam tempoh setahun ini.

Justeru, pelbagai pihak menggesa SPR memperkenalkan kaedah undi melalui pos atau pengundian tanpa kehadiran bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19 supaya gelombang ke-3 yang tercetus akibat Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak berulang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button