Berita Utama

MTEM tegur kerajaan kurangkan subsidi harga padi

Beri subsidi terus kepada petani melalui kupon lebih praktikal berbanding vendor

BANGI, 30 Rabiulawal 1442H, Isnin – Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menegaskan, perbelanjaan untuk industri penting seperti padi dan beras tidak seharusnya dikurangkan terutama dalam pembangunan infrastrukturnya. 

Ahli Lembaga Pemegang Amanah MTEM, Nurfitri Amir Muhammad berkata demikian susulan jumlah keseluruhan subsidi harga padi dalam Belanjawan 2021 telah berkurang sebanyak RM50 juta. 

Bahkan, katanya, peruntukan dalam perbelanjaan untuk pengurusan dan penyelenggaraan antaranya bagi pengairan serta saliran Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) serta Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang keseluruhannya berjumlah ratusan juta juga berkurangan.

“Sudah lama sepatutnya infrastruktur seperti saliran dan empangan dibaik pulih dan dipertingkatkan kerana tanpa infrastruktur fizikal yang baik, mustahil untuk melaksanakan dengan jayanya projek IR4.0 ‘internet of things’ seperti kawalan penjadualan air secara automatik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut isu pengurangan jumlah subsidi harga padi, Nurfitri Amir berkata, bilangan pesawah yang akan menerima subsidi harga penuh bagi setiap tan hasil bendang juga akan berkurangan terutama mereka yang berada di kawasan luar jelapang. 

Walhal, katanya, perkara berkenaan sudah pun dibangkitkan ketika ini oleh mereka yang di luar jelapang seperti di Melaka dan Johor. 

Dek kerana itu, katanya, secara tidak langsung objektif insentif ini untuk menambah hasil padi negara tidak dipenuhi.

Justeru, beliau menegaskan, penstrukturan semula belanjawan dalam industri ini mestilah bersifat transformatif di mana kepelbagaian agrobiodiversiti tanaman mesti diberi tumpuan berbanding memfokuskan tanaman tertentu seperti nanas. 

“Manakala sektor padi dan beras yang merupakan makanan ruji negara seharusnya diperkasakan dalam belanjawan setiap tahun demi jaminan bekalan makanan negara.

“Mesti dipastikan penyampaian subsidi ini dilaksanakan dengan teliti dan menyeluruh supaya projek-projek pertanian komuniti dan organik yang dicetuskan pada tahun 2021 nanti mampu berterusan dan tidak hanya menjadi trend semasa sahaja,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pemberian subsidi terus kepada petani melalui kupon adalah lebih praktikal dan bermanfaat berbanding melalui vendor yang sering berlaku masalah ketirisan dan kawalan kualiti yang rendah.

“Punca kebanyakan masalah petani yang mengeluarkan hasil yang rendah sering kali terkait dengan sistem penyampaian, pengurusan dan penguatkuasaan yang lemah. 

“Baru-baru ini, pesawah-pesawah padi dari Kedah, Perak dan Perlis kecoh kerana sistem kuota penghasilan benih dan ketiadaan koordinasi antara jadual bekalan air dan bekalan benih menyebabkan berlaku eksploitasi harga dan pembekalan benih yang berkualiti rendah. 

“Masalah ini boleh diselesaikan tanpa melibatkan teknologi baharu mahupun pertambahan perbelanjaan, apa yang diperlukan adalah kemahuan politik,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button