Berita Utama

Penganggur dipenjara kerana cekik leher, maki polis

Suspek dipenjara 4 bulan selepas mengaku bersalah

PETALING JAYA, 30 Rabiulawal 1442H, Isnin – Gara-Gara mencekik leher dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang anggota polis yang cuba menenangkannya selepas mengamuk serta memukul isteri dan anaknya, seorang penganggur dipenjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Mohamed Ikhwan Mohd Nasir menjatuhkan hukuman itu selepas Ahmad Rosli Ahmad Kamsah, 49, mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan.

Mohamed Ikhwan menjatuhkan hukuman penjara empat bulan bagi setiap pertuduhan namun memerintahkan tertuduh menjalani kedua-dua hukuman secara serentak mulai tarikh dia ditangkap iaitu pada 11 Nov lepas.

Mengikut pertuduhan pertama, Ahmad Rosli didakwa menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan Koperal Mohamed Nor Fitri Zainurin dengan mencekik lehernya mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengeluarkan kata-kata kesat berulang kali terhadap mangsa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ahmad Rosli didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di sebuah rumah di Impian Baiduri di sini pada 5.05 petang 11 Nov lepas.

Berdasarkan fakta kes yang dibentangkan Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid, mangsa yang merupakan anggota polis dari bahagian peronda telah menerima maklumat terdapat satu kes seorang lelaki mengamuk yang memukul isteri serta anaknya dan sebaik tiba di lokasi kejadian, Mohamed Nor Fitri cuba menenangkan Ahmad Rosli namun tertuduh telah bertindak mengeluarkan kata-kata kesat selain mencekik mangsa sehingga cedera.

Ahmad Rosli yang tidak diwakili peguam merayu hukuman minimum atas alasan dia tidak bekerja dan menanggung isteri serta seorang anak.

Bagaimanapun, Hakim Amir memohon agar mahkamah mengenakan hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh.

“Pendakwaan memohon agar mahkamah mengambil kira kesukaran yang dihadapi pihak polis ketika menjalankan tugas dan tindakan tertuduh dianggap sebagai gangsterisme serta tidak bermoral,” katanya.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, Ahmad Rosli menukar pengakuannya kepada tidak bersalah terhadap dua pertuduhan memukul isteri serta anak perempuannya di tempat dan tarikh sama mengikut Sesyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, ketika prosiding sebelum tertuduh menukar pengakuannya, dia telah memohon maaf kepada isterinya sambil menangis.

Isterinya yang duduk di galeri awam kemudian mendekati Ahmad Rosli yang berada dalam kandang tertuduh dan dilihat turut menangis.

Difahamkan, tertuduh bertindak menukar pengakuan kepada tidak bersalah selepas berbincang dengan isterinya yang berhasrat menarik balik laporan polis berhubung kes itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zamriah Zarifah Aris.

Majistret Muhammad Iskandar Zainol kemudian menetapkan 19 Jan 2021 bagi sebutan semula kes itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button