Berita Utama

Sokonglah belanjawan kerajaan: PAS

Pembangkang tak wajar jadikan Belanjawan 2021 ikut cita rasa sendiri

KOTA BHARU, 30 Rabiulawal 1442H, Isnin – Semua Ahli Parlimen terutamanya pembangkang diharap dapat memberi sokongan penuh terhadap Belanjawan 2021 yang dibentangkan kerajaan baru-baru ini, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah. 

Menegaskan perkara itu, beliau berkata, pihaknya juga akan memberikan sokongan sebaik mungkin terhadap belanjawan itu walaupun ada beberapa perkara dan teguran yang dibuat semasa perbahasan.

“Kita memang menyokong Perdana Menteri dalam Perikatan Nasional (PN). Walaupun mungkin dalam perbahasan itu ada pandangan dan teguran yang dilontarkan, itu hanya perkara biasalah.

“Kita harap semua Ahli Parlimen dan pembangkang menyokong bajet ini walaupun ada benda-benda yang kita tidak berpuas hati,” katanya seperti dilapor Sinar Harian, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, jika belanjawan tidak diluluskan, ia bukan lagi hanya berkait soal politik tetapi kesannya merangkumi aspek perancangan, gaji dan sebagainya.

Justeru, pembangkang tidak sewajarnya menjadikan Belanjawan 2021 mengikut cita rasa mereka memandangkan ia adalah bajet kerajaan dan kerajaan juga mempunyai objektif sendiri yang hendak dicapai.

“Ada pertimbangan dia sendiri, masa Pakatan Harapan jadi kerajaan pun dia (PH) tidak berunding dengan pembangkang. Dia pun buat belanjawan dia sendiri, itu biasalah.

“Dalam perbahasan boleh saja kemukakan teguran dan pandangan, tetapi saya harap kalau boleh sokonglah sebab ini untuk kepentingan orang ramai,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button