Berita Utama

Surau di lebuh raya PLUS dibuka semula hari ini

Pengguna lebuh raya dinasihatkan patuh SOP di surau

KUALA LUMPUR, 30 Rabiulawal 1442H, Isnin – Semua surau di kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah dan plaza tol di lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS) termasuk di Negeri Sembilan dibuka semula hari ini.

PLUS dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia selari dengan keputusan Jabatan Agama Islam di kawasan dan negeri yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Sehubungan itu, pengguna lebuh raya yang berhenti untuk menunaikan solat di kawasan berkenaan dinasihatkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan keselamatan semua pihak.

“PLUS turut mengingatkan pelanggan yang menggunakan surau di lebuh raya, supaya mendaftar diri dengan menggunakan aplikasi MySejahtera atau menulis secara manual bagi urusan pengesanan kontak rapat sekiranya perlu.

“Pengguna juga diingatkan untuk membawa kelengkapan solat sendiri seperti telekung dan sejadah bagi memastikan kebersihan diri terjaga ketika solat kerana kelengkapan tersebut tidak disediakan buat masa ini,” maklum kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu penandaan bagi penjarakan fizikal juga disediakan di setiap ruang solat dan kawasan mengambil wuduk untuk memastikan jarak fizikal satu meter.

Selain itu, PLUS juga memastikan surau dan kemudahan awam lain sentiasa disanitasi secara berjadual.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button