Berita UtamaDunia

Vietnam bina lapangan terbang baharu, tampung trafik tinggi

Pembinaan terbahagi 3 fasa bakal telan belanja RM59.5 bilion

HO CHI MINH CITY, 30 Rabiulawal 1442H, Isnin – Timbalan Perdana Menteri Vietnam, Trịnh Đình Dũng meluluskan pembinaan fasa pertama Lapangan Terbang Antarabangsa Long Thành di wilayah selatan Đồng Nai di negara ini.

Projek itu mempunyai empat komponen utama iaitu ibu pejabat agensi pengurusan negeri, perkhidmatan pengurusan penerbangan, kemudahan penting lapangan terbang dan pembinaan lain.

Binaan-binaan besar seperti bangunan lapangan terbang, apron pesawat, terminal penumpang dan terminal kargo akan dilaksanakan oleh Airport Corporation of Vietnam (ACV), yang mengendalikan 21 lapangan terbang di seluruh negara.

Bagaimanapun, ACV harus mengumpulkan dana untuk pembinaan tersebut.

Fasa pertama lapangan terbang, yang dijangka menelan belanja lebih daripada AS$4.6 bilion (RM16.8 bilion) itu dijangka siap pada tahun 2025.

Pelaburan dipersetujui oleh Majlis Nasional pada tahun 2017, yang juga mengeluarkan resolusi mengenai pampasan dan penempatan semula serta sokongan untuk individu dan organisasi yang terjejas.

Projek berkenaan dilaksanakan susulan Lapangan Terbang Antarabangsa Tân Sơn Nhất di HCM City, yang terbesar di negara ini, dibebani dengan trafik tinggi selama bertahun-tahun, baik di udara mahupun darat.

Justeru, Perdana Menteri, Nguyễn Xuân Phúc menggesa pihak berkuasa wilayah Đồng Nai untuk menyerahkan tanah yang diperlukan pada bulan lalu supaya pembinaan lapangan terbang dapat dimulakan pada awal tahun depan.

Beliau juga menetapkan tarikh akhir untuk menilai tanah yang dibersihkan bagi tujuan pampasan pada akhir bulan ini.

Pembinaan lapangan terbang itu memerlukan lebih daripada 5,000 hektar tanah dan lebih daripada 364 hektar di tempat lain untuk membina dua tapak penempatan semula.

Kira-kira 4,800 isi rumah dan 26 organisasi dijangka dipindahkan untuk memberi laluan kepada pembinaannya.

Lapangan terbang akan merangkumi enam komuniti di Daerah Long Thành. Ia dijangka menelan belanja AS14.47 bilion (RM59.5 bilion) dengan pembinaannya terbahagi kepada tiga fasa.

Lapangan terbang ini dijangka mempunyai empat landasan pacu, empat terminal penumpang dan pembinaan tambahan untuk memastikan kapasiti 100 juta penumpang dan lima juta tan kargo setahun menjelang 2040.

Kementerian Pengangkutan mengatakan Lapangan Terbang Antarabangsa Long Thành adalah projek nasional utama yang akan memberi kesan yang besar pada wilayah ekonomi utama selatan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button