Berita Utama

4 Melayu DAP promosi diri alumni UiTM khianat bangsa sendiri

Skrip ulang tayang dengan muka-muka baru untuk dapat kepercayaan Melayu

BANGI, 1 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Penganjuran bual bicara oleh parti cauvinis DAP – dengan menampilkan empat alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) – seolah-olah mahu mendapatkan kepercayaan orang Melayu khususnya mahasiswa. 

Sejak semalam, tular di media sosial poster digital mengenai penganjuran program bual bicara secara maya anjuran sayap Muda DAP Kampung Tunku bertajuk ‘UiTM dan DAP?’ – membabitkan beberapa alumni universiti awam itu sebagai ahli panel dan moderator.

Empat alumni berkenaan ialah Farhan Haziq, Nur Rahim Nasir, Aslam Ramli dan Ahmad Afiq selaku Alumni UiTM Shah Alam, UiTM Raub, UiTM Melaka dan UiTM Negeri Sembilan.

Sekiranya poster itu benar, Naib Presiden 1 Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Salehuddin Asyraf Mohd Najib berkata, normalisasi pertubuhan cauvinis DAP dalam kalangan orang Melayu sebegini bukan perkara baharu.

Suatu ketika dahulu, Dyana Sofya yang juga bekas pelajar UiTM diangkat sebagai ikon Melayu DAP bagi memainkan peranan menormalisasikan pertubuhan itu dalam kalangan orang Melayu serta penuntut universiti.

“Ini hanya merupakan skrip ‘ulang tayang’ dengan muka-muka baru bertujuan untuk mendapatkan kepercayaan orang Melayu khususnya mahasiswa terhadap DAP.

“Sudah terang lagi bersuluh, usaha menampakkan DAP sebagai pertubuhan yang mesra UiTM dan pro-Bumiputera hanyalah perbuatan talam dua muka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Walhal, Deklarasi Setapak yang menjadi prinsip DAP (seperti dalam laman web DAP) jelas memperjuangkan kesamarataan etnik serta menentang pengkelasan Bumiputera, kata Salehuddin.

Deklarasi Setapak memperkukuh pandangan DAP bahawa dalam proses membina negara, kesamarataan etnik harus menjadi prinsip paling penting, dan di atas prinsip inilah pengasingan rakyat ke dalam dua kelompok ‘Bumiputera’ dan ‘bukan Bumiputera’ ditentang.

“Bahkan, dasar ini ditegaskan sekali lagi dalam pendirian beberapa pimpinan DAP seperti Lim Kit Siang dan mendiang Karpal Singh. 

“Jika ini membuktikan bahawa kepentingan Bumiputera tiada dalam dasar DAP, maka apa sebenarnya yang ‘alumni UiTM’ ini cuba buktikan?,” soalnya.

Justeru, Salehuddin berkata, alumni UiTM yang menyertai DAP dan cuba mempromosikan tindakan tersebut bagai ‘kacang lupakan kulit’, kerana hakikatnya mereka terpilih memasuki UiTM kerana wujudnya dasar Bumiputera UiTM .

“Sekiranya mereka telah menjadi Melayu yang ‘cair’ dan senada dengan pertubuhan cauvinis tersebut, mereka patut berasa malu dan seolah-olah mengkhianati bangsa sendiri. 

“Jelas, penglibatan orang Melayu ibarat ‘digula-gulakan’ dengan jawatan picisan sedangkan kita semua sedia maklum siapa yang mendominasi jawatan-jawatan di peringkat tertinggi pimpinan,” katanya lagi.

Justeru, Salehuddin menggesa mahasiswa UiTM mahupun alumni menolak normalisasi DAP dari segi keanggotaan mahupun ideologi parti tersebut. 

“Ideologi DAP tiada tempat dalam dasar UiTM. Kita tidak sanggup menyaksikan persatuan universiti seperti UMANY yang biadab dan jahil perlembagaan lahir dari rahim UiTM. 

“Cubaan resap masuk gerakan mahupun ideologi yang cauvinis dan bercanggah perlembagaan dalam mana-mana institusi awam wajar ditolak tanpa syarat. 

“Kita tidak mahu lahir mahasiswa yang menafikan sejarah pembinaan negara, lupa asal usul dan larut dengan retorik perjuangan kesamarataan.

“Semoga mahasiswa dan alumni UiTM terus menjunjung tinggi dasar yang menjadi teras penubuhan UiTM serta menolak apa jua cubaan normalisasi dan ganggu gugat oleh Alumni UiTM yang menganggotai DAP,” tegasnya.

UiTM hari ini menafikan institusi berkenaan terbabit dalam program bual bicara berkenaan. 

Ketua Perhubungan Awam, Media dan Protokol Jabatan Komunikasi UiTM, Nora Noordin berkata, universiti itu memandang serius terhadap isu berkenaan susulan tersebarnya poster digital di media sosial mengenai program itu. 

“UiTM dengan tegas ingin memaklumkan universiti ini sama sekali tidak terbabit dalam program berkenaan. Tidak ada sebarang permohonan mahupun kelulusan diberikan terhadap program itu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button